Pesta ‘Gay Boy’: Batal Lesen Premis, Rosak Nama Tun Razak
KUALA LUMPUR, 23 Mac 2023 – Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia menggesa pembatalan lesen premis Privacy Tun Razak susulan kontroversi penganjuran pesta ‘Thai Hot Guy’ yang mengundang persepsi buruk terhadap nama tokoh negara Almarhum Tun Razak.
Pengerusi NGO itu, Cikgu Izzat Johari (CIJ) menegaskan bahawa pihaknya mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyita dan menutup terus premis tersebut kerana melanggar banyak sensitiviti umat Islam dengan cubaan menganjurkan sebuah majlis yang mencabar Perlembagaan Persekutuan.
Amal Sejagat juga mahu pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyaman pihak premis atau syarikat kerana mengundang persepsi buruk kepada nama ‘Tun Razak’ dengan jemputan penari yang dipercayai daripada golongan LGBT sekali gus menunjukkan bahawa premis tersebut sememangnya menyokong golongan songsang berkenaan.
Dalam pada itu, katanya, merujuk kepada notis penjelasan premis, jelas menunjukkan pihak premis tidak mengakui kesilapan mereka mengundang puak LGBT dalam majlis perasmian. Malah, mereka menyalahkan faktor penularan media sosial dan kononnya salah guna ayat dan iklan tanpa persetujuan sedangkan sudah terang lagi bersuluh jemputan mereka itu daripada kalangan LGBT.
Lantaran itu, Amal Sejagat menggesa polis untuk menahan dan menyoal siasat serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik premis ekoran cubaan mencabar kredibiliti Negara Malaysia yang mengangkat agama Islam sebagai Agama Persekutuan.
Pertubuhan itu turut memberi amaran dan mengingatkan, “Jika tiada tindakan tegas diambil, NGO Amal Sejagat akan menganggap kenyataan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan yang tidak menyokong LGBT sebagai hipokrit malah telah membiarkan nama Almarhum ‘Tun Razak’ seangkatan dengan nama Lorong Haji Taib yang dulu pernah dikenali sebagai lorong pelacuran Kuala Lumpur.”
BACA JUGA: Pesta ‘Gay Boy’ Ramadan al Mubarak, Kerajaan Madani Mesti Bertindak! – NGO
BACA JUGA: Kuliah Agama Tak Boleh, Pesta ‘Gay Boy’ Bulan Ramadan Boleh Pula? – Yusuf Azmi
BACA JUGA: Ramadan: Kantin Sekolah Boleh Dibuka – Menteri Pendidikan
Baru-baru ini tular di media sosial mengenai penganjuran sebuah pesta ‘gay boy’ di Privacy Tun Razak, Kuala Lumpur yang mencetus pelbagai reaksi negatif daripada NGO dan masyarakat setempat.
Kerajaan Madani turut menerima desakan NGO agar penganjuran pesta itu dihentikan segera selepas mendapati ianya bercanggah dengan norma serta nilai ketimuran di Malaysia.