Pesawat Terbang Dengan Lubang Besar Selama 14 Jam
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BRISBANE, 09 Julai 2022 – Media sosial digemparkan mengenai juruterbang dan penumpang sebuah pesawat penumpang Emirates dari Dubai ke Brisbane, Australia yang terkejut apabila mendapati mereka telah terbang selama 14 jam dengan lubang besar di sisi kiri badan kapal terbang Airbus A380 yang mendarat di Brisbane, Australia.
Syarikat Emirates menjelaskan hal ini dengan berkata, insiden tersebut berlaku akibat salah satu daripada 22 tayar Airbus A380 itu mengalami kerosakan teknikal semasa berlepas. Tayar itu dikatakan pecah dan mengakibatkan kerosakan pada badan kiri bahagian belakang kapal terbang tersebut.
Bagaimanapun, jurucakap syarikat itu memaklumkan bahawa, “Pesawat itu selamat mendarat di Brisbane dan semua penumpang turun mengikut jadual.”
Menurut laman web yang menjejaki insiden keselamatan syarikat penerbangan itu, Aviation Herald, anak kapal dan penumpang penerbangan EK-430 pada Jumaat lalu melaporkan bunyi dentuman yang kuat kira-kira 45 minit selepas pesawat itu berlepas dari lapangan terbang utama Dubai.
Laporan berita yang diterbitkan Sinar Harian memaklumkan, juruterbang pesawat berkenaan percaya bahawa salah satu tayar pesawat mungkin meletup dan mengambil keputusan memberitahu pusat kawalan trafik udara di Brisbane serta meminta perkhidmatan kecemasan untuk bersedia.
Kini, pesawat penumpang itu telah dibaiki sepenuhnya dan akan berlepas pulang ke Dubai pada hari Ahad.