Pesawat Pejuang J-20 China berlegar di Laut China Selatan Sejak 2021 – Yakub Arbi
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 28 Julai 2022 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub bin Arbi meluahkan kebimbangan beliau dengan sikap berdiam diri Kerajaan dalam isu pencerobohan China di ruang udara dan perairan Malaysia sedangkan perkara itu sudah lama berlanjutan.
“Krisis ini tidak boleh dipandang remeh mahupun sikap berdiam diri kononnya untuk ‘menjaga hati’ segelintir pihak walaupun mencabul kepentingan dan kedaulatan negara.”
“Ini tidak betul, semakin hari semakin risau saya dengan pendekatan China di ruang udara dan perairan kita di Laut China Selatan. Apakah kita semua tidak nampak?”
“Sejak 2021 sudah ada laporan mendedahkan pesawat pejuang ‘Halimunan’ China, J-20 berlegar di ruang udara Laut China Timur dan Laut China Selatan untuk melakukan rondaan dan latihan rutin.”
“Tindak tanduk ini sebenarnya boleh gugat perkapalan serta aktiviti nelayan. Nota bantahan perlu dilakukan melalui saluran diplomatik dengan segera,” tegas beliau.
Yakub Arbi menegur pihak Kerajaan kerana seolah-olah tidak bersedia untuk menghadapi krisis pencerobohan ruang kedaulatan negara ini.
“Apa yang berlaku antara tentera udara China dan tentera kita memberi peringatan kepada kita tentang kesiapsiagaan negara untuk situasi seumpama ini. Adakah ini tidak membimbangkan kita?”
“Sebenarnya Malaysia tidak bersendirian dalam pertikaian ini. Filipina, Vietnam dan Brunei semuanya mempertikaikan secara rasmi dalam konflik Laut China Selatan. Adalah jelas pendirian negara-negara ASEAN terhadap tindakan tidak berintegriti tentera China.”
“Semua negara besar seperti China, Rusia, Amerika Syarikat perlu faham dan tidak sesekali ambil kesempatan dengan mengadakan latihan ketenteraan di Laut China yang begitu jelas boleh mengundang provokasi, ancaman keselamatan akhirnya diLihat seperti Zon Perang.”