Tempatan

PESAWAH Kecewa Benih Mandul, Mahu Kerajaan Cakna & Bertindak

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) telah menerima banyak aduan daripada Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah berkenaan bekalan benih padi yang diterima daripada pembekal dalam keadaan teruk dan tidak bercambah apabila direndam air. Aduan diterima bermula April lalu sehinggalah terkini pada hujung bulan Mei. Pemerhatian kami mendapati terdapat sebahagian daripada benih yang dijual kepada pesawah adalah benih lama yang melebihi 3 bulan daripada tarikh proses sebahagian lagi benih adalah benih yang masih baru namun didapati tidak bercambah apabila direndam air.
Untuk makluman semua, kes seumpama ini bukanlah pertama kali berlaku, pelbagai pihak termasuk PeSAWAH telah mengutarakan masalah kualiti benih padi yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat terpilih ini sejak 4 tahun lepas tetapi isu yang sama masih berulang-ulang kali berlaku semula. Selain kualiti yang teruk, pernah juga terjadi dimana bekalan benih tidak mencukupi dan berlaku eksploitasi harga yang melampau. Sampai bilakah petani harus membuat aduan demi aduan, tetapi seolah-olah tidak diperdulikan.
Kami yakin, sikap sambil lewa syarikat pengeluar benih padi yang berbuat sesuka hati tanpa memikirkan nasib petani yang menanggung kerugian demi kerugian ini, adalah kerana mereka dilindungi oleh sistem perlesenan dan kuota bekalan benih padi, dimana setiap musim mereka dengan mudah mendapat keuntungan jutaan ringgit daripada subsidi yang diberikan oleh kerajaan terus kepada syarikat. Bermakna, sama ada benih yang dihasilkan berkualiti atau tidak, syarikat-syarikat ini tetap akan dapat membuat tuntutan bayaran subsidi daripada kerajaan.
Oleh itu, kami menggesa agar lebih banyak pihak diberikan lesan untuk menjual benih padi termasuklah pertubuhan peladang, koperasi dan SME. Malahan, individu petani yang melaksanakan amalan tradisi menyimpan, berkongsi dan menjual benih juga patut dibenarkan. Subsidi benih padi pula seharusnya diberikan terus kepada petani melalui sistem kupon atau tunai. Dengan cara ini, petani akan mendapat lebih banyak pilihan dan persaingan pasaran membolehkan kualiti terjamin dan harga terkawal. Para petani sudah tentu akan memilih pihak yang menjual benih yang berkualiti dengan harga yang berpatutan.
PeSAWAH menggesa pihak berkuasa agar melaksanakan sesi libat urus untuk memperincikan cadangan ini kerana para petani sudah sekian lama dipermainkan oleh sistem kuota bekalan benih ini.
Selain itu, PeSAWAH juga ingin membangkitkan perihal bayaran tabung bencana yang masih lagi tidak diterima oleh sebahagian pesawah di Negeri Sembilan dan bantuan khas BERNAS yang masih belum diterima oleh sebahagian pesawah di Negeri Perak. Bantuan tabung bencana tersebut adalah untuk musibah banjir yang berlaku pada musim lepas. Musim panas dan kering ketika ini juga berisiko besar menyebabkan tanaman mati dan proses bantuan tabung bencana seharusnya dipersiapkan lebih awal.
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: