Pertubuhan Kebajikan Mohon Maaf, Edar Gula-Gula ‘Bawa Maut’
AUCKLAND, 15 Ogos 2024 – Sebuah pertubuhan kebajikan di New Zealand memohon maaf kerana tidak sengaja mengagihkan gula-gula yang boleh membawa maut melalui pek makanan yang disalurkan kepada masyarakat.
Kejadian ini berlaku apabila gula-gula berperisa nenas itu, yang dicampur dengan dadah Methamphetamine, disumbangkan oleh seorang penderma tidak dikenali kepada Auckland City Mission.
Setelah seorang penerima melaporkan rasa pelik ketika memakan gula-gula tersebut, pihak pertubuhan menghantar sampel untuk diuji sekali gus mendapati terdapat sejumlah besar dadah Methamphetamine di dalamnya iaitu sehingga 300 kali ganda dos yang biasa digunakan oleh penagih.
Ini mengakibatkan 3 orang, termasuk seorang kanak-kanak, menerima rawatan di hospital.
Setakat ini, pihak berkuasa New Zealand sedang menjalankan siasatan dan mereka bimbang sekiranya gula-gula ini mungkin sebahagian daripada skim penyeludupan dadah yang tidak berjaya sebelum disumbangkan kepada pertubuhan itu.
Auckland City Mission kini berhadapan dengan tekanan untuk memastikan keselamatan penerima bantuan mereka kerana kebanyakan penerima adalah golongan rentan, termasuk individu yang berjuang melawan ketagihan.