Tempatan

Pertubuhan Islam Bantah Pembinaan Patung Mazu

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KOTA KINABALU, 04 April 2023 – Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) mengekalkan pendirian membantah pembinaan Patung Mazu berhampiran Masjid Daerah Kudat.

“Ketetapan yang dinyatakan kali ini adalah konsisten dengan pendirian kepimpinan USIA sebelum ini, iaitu membantah sekeras-kerasnya pembinaan Patung Mazu di tapak asal yang dicadangkan berhampiran Masjid Daerah Kudat pada 2005,” kata Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad menurut laporan portal tempatan.

Tegasnya, kewujudan Patung Mazu atau Dewi Laut itu berhampiran masjid berkenaan boleh mengganggu kekhusyukan umat Islam yang beribadah, selain mengambil kira sensitiviti agama dan bantahan masyarakat Islam setempat.

BACA JUGA: Gempa Bumi 6.2 Skala Richter Melanda Utara Sumatera, Dirasai Malaysia

BACA JUGA: RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori Diluluskan

BACA JUGA: Video Tular Polis Minta Rasuah, Individu Terlibat Dipanggil

“Bukanlah niat USIA untuk menghalang usaha kerajaan negeri menarik kemasukan pelancong ke Sabah termasuk ke Kudat, tetapi yang mesti diberi keutamaan adalah sensitiviti dan kemaslahatan umat Islam itu sendiri.”

Jawapan itu dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap rancangan terbaharu untuk meneruskan pembinaan Patung Mazu di Kudat seperti disuarakan beberapa pemimpin negeri termasuk Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Christina Liew dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, beberapa hari lalu.

Kata Sapawi, USIA tidak dapat menerima apapun alasan pihak yang mahu menghidupkan semula usaha membina patung berkenaan di tapak asal yang dicadangkan sebelum ini kerana ia menerima bantahan sejak dari awal cadangannya hampir 20 tahun lalu.

Justeru, USIA sekali lagi menyatakan pendirian tegas membantah sekeras-kerasnya pembinaan patung Mazu di tapak asal yang dicadangkan.

Cadangan pembinaan dewi laut mengikut kepercayaan masyarakat Cina itu di atas tanah persendirian menghadap ke laut dengan kos RM5 juta dekat bandar Kudat telah dikemukakan oleh mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat pada tahun 2005.

Pembinaan patung berkenaan yang berketinggian 33 meter pada mulanya mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) pada awal 2006, namun kerja-kerja tapak yang sudah bermula diarah dihentikan pada Mei tahun yang sama berikutan bantahan masyarakat Islam setempat.

Hal ini kerana tapak pembinaan patung itu terlalu dekat dengan masjid.

Namun, baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Christina Liew menyokong cadangan projek berkenaan dan mendakwa binaan itu selepas siap mampu menjadi tarikan baharu di Kudat, selain Tip Of Borneo yang juga dikenali Simpang Mengayau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: