Pertimbang Cuti Haid Untuk Wanita – YB Charles Santiago
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 20 Julai 2022 – “Saya datang ke sini untuk membangkit isu ini sebab ada keperluan untuk cuti haid termasuk dengan tuala wanita,” Ahli Parlimen Klang, YB Charles Santiago membangkitkan persoalan ini dalam sesi Soal Jawab di Parlimen hari ini.
“Saya harapkan bahawa Menteri akan announce today satu kajian telah dihabiskan, telah dibuat dan akan diperkenalkan dalam masa yang terdekat tapi malangnya, kementerian itu backward (berundur). Saya minta kepastian daripada pihak menteri sekarang jangan kecewakan golongan wanita keluarga Malaysia dan beri satu enakmen sekarang kepada Parlimen bilakah penilaian ini akan bermula, bila akan habis dan bila akan diperkenalkan termasuk dengan perbincangan kumpulan kepentingan,” kata Ahli Parlimen Klang, YB Charles Santiago kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam mempertimbangkan cuti haid buat golongan wanita. Charles Santiago turut meminta respons Menteri dan kementerian berkenaan mengumumkan satu kajian yang telah dibuat dan jangkaan bila ia diperkenalkan dalam masa terdekat.
Menjawab soalan Ahli Parlimen Klang itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff memaklumkan bahawa, satu kajian yang melibatkan lebih daripada 57 ribu responden sedang dibuat dan dijangka siap pada bulan Oktober.
“Cuti ini sebagaimana yang saya maklum, ia adalah di bawah kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Sumber Manusia, dan juga bergantung kepada keperluan agensi-agensi yang terlibat,” ujar beliau yang berharap akan ada tindakan selanjutnya selepas membentangkan hasil kajian tersebut kepada Kerajaan.
Dalam pada itu, Kerajaan, dalam Belanjawan 2022 berjanji untuk menyediakan kit kebersihan diri kepada 130,000 remaja perempuan daripada keluarga B40 kit sebagai langkah untuk menangani kemiskinan haid, lapor Malaysiakini.
Samudera.my turut melaporkan kenyataan Datuk Siti Zailah mengenai cuti ihdad iaitu cuti untuk wanita kematian suami dengan memaklumkan Kerajaan melalui Kementerian itu akan memberi ruang kepada mereka yang kematian suami dengan insentif tertentu. Soalan berkenaan cuti ihdad tersebut dibangkitkan oleh YB Ahmad Fadhli Shaari yang turut mengemukakan cadangan supaya usaha kerajaan Kelantan memperkenalkan cuti sebulan untuk wanita yang kematian suami diberikan cuti selama sebulan diikuti oleh kerajaan Pusat.