Pertama Kali Dalam Sejarah, China Aktifkan ‘Amaran Merah’ Bekalan Air
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SHANGHAI, 24 September 2022 – Kerajaan Wilayah Jiangxi di China Tengah telah mengeluarkan ‘amaran merah’ untuk bekalan air buat kali pertamanya apabila Tasik Poyang menyusut ke paras terendah berikutan kemarau berterusan.
Tasik Poyang, tasik terbesar negara itu merupakan saluran keluar banjir untuk Sungai Yangtze, sungai terpanjang China, telah mengering daripada paras 19.43m kepada 7.1m sejak tiga bulan lalu.
Pusat Pemantauan Air Jiangxi menjangkakan paras itu menurun lebih jauh dalam beberapa hari akan datang, memandangkan kekurangan hujan iaitu 60 peratus lebih rendah daripada tahun lalu.
Menurut 267 stesen cuaca di seluruh China, rekod suhu pada bulan Ogos dan musim kering yang panjang merentasi lembangan sungai Yangtze telah menghalang pengeluaran kuasa hidro dan menghalang pertumbuhan tanaman menjelang musim menuai.
Walaupun hujan lebat telah melegakan kemarau di kebanyakan kawasan barat daya China, namun kawasan tengah terus menderita, dengan keadaan yang sangat kering kini menjangkau lebih daripada 70 hari di Jiangxi.
Menurut biro air tempatan, sebanyak 10 takungan di wilayah jiran Anhui telah jatuh di bawah paras ‘kolam mati’, bermakna mereka tidak dapat menyalurkan air ke hilir.
Oleh itu, peramal cuaca menasihati agar usaha menyemai awan dan mengalihkan air dari tempat lain perlu dilakukan untuk menghentikan kejadian ngeri itu.