Antarabangsa

Pertama Di India: Wanita Kahwini Diri Sendiri

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

VADODARA, 06 Jun 2022 – Seorang wanita mengejutkan negaranya dengan pengumuman bahawa dia akan mengahwini dirinya sendiri.

Lapor Times of India, Kshama Bindu, 24, sedang mempersiapkan dirinya meraikan hari bahagianya sendiri pada 11 Jun ini, dipercayai sologami atau perkahwinan dengan diri sendiri pertama di Gujarat, India.

Sologami adalah perbuatan mengahwinkan diri sendiri dalam upacara umum, juga dipanggil sebagai autogami. Walaupun perkahwinan sebegitu tidak mempunyai keizinan atau status undang-undang, upacara simbolik itu digunakan oleh banyak pihak sebagai tindakan untuk menekankan cinta akan diri sendiri dan kemerdekaan mereka.

“Saya tidak pernah mahu berkahwin. Tetapi saya memang mahu menjadi pengantin. Jadi saya memutuskan untuk mengahwini diri sendiri,” kata Bindu.

Ujarnya, berdasarkan kajian, dia merupakan individu pertama yang melaksanakan sologami di India.

“Perkahwinan dengan diri sendiri adalah komitmen untuk ada di sisi untuk diri sendiri dan cinta tanpa syarat untuk diri sendiri. Orang berkahwin dengan orang yang mereka cintai. Saya sayangkan diri saya dan oleh itu terjadilah perkahwinan ini,” katanya lagi.

Tambah Times of India lagi, Bindu sedang membuat persiapan majlis perkahwinannya yang lengkap mengikut adat agama Hindu: daripada “feras” (tujuh pusingan yang dilakukan oleh pengantin perempuan dan pengantin lelaki mengelilingi api suci) dan memakai vermilion atau nama lainnya sindoor (serbuk merah yang digunakan semasa upacara keagamaan dan kebudayaan Hindu).

Malah, dia juga sudah telah menyiapkan lima ikrar perkahwinan untuk dirinya sendiri. Apa yang tiada di dalam majlis perkahwinan itu nanti hanyalah pengantin lelaki dan barang-barang kemas yang selalunya diberikan oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan.

Ujar Bindu, kedua ibu bapanya merestui keputusannya. Dia akan bertolak ke Goa, destinasi pilihan bulan madunya selepas selesai sologami.

Ini bukan pertama kali sologami dilakukan. Sebelum ini, pada tahun 2021, seorang wanita Brazil memutuskan untuk menceraikan dirinya sendiri dalam sologaminya.

Sebab perceraiannya adalah kerana dia telah menemui orang lain.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: