Pertahanan AS Boros Untuk LGBT, Abai Persediaan Ketenteraan – Ahli Kongres Republikan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JUMAAT, 17 JUN 2022 – Beberapa orang ahli kongres Amerika Syarikat (AS) dari parti Republikan menuntut supaya diadakan pemeriksaan perbelanjaan penuh terhadap Kementerian Pertahanan AS berikutan perbelanjaan kementerian tersebut dalam mempromosikan ‘Pride Month’, bulan yang didedikasikan khusus terhadap golongan LGBT.
Tuntutan tersebut telah disuarakan menerusi sekeping surat bertarikh 13 Jun itu telah ditandatangani oleh 13 orang ahli kongres Republikan iaitu Andy Biggs, Bob Good, Mary E. Miller, Lauren Boebert, Mo Brooks, Jeff Duncan, Andrew Clyde, Louie Gohmert, Marjorie Taylor Greene, Ralph Norman, Vicky Hartzler, Dan Bishop dan Diana Harshbarger dan ditujukan kepada Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd J. Austin.
Kementerian Pertahanan AS sebelum ini telah memaparkan inisiatif-inisiatif yang berkaitan dengan bulan sambutan LGBT tersebut menerusi beberapa akaun media sosial yang berkait dengan pihak ketenteraan AS, termasuk Kumpulan Inisiatif LGBTQ Tentera Udara yang bertujuan untuk “mengenalpasti isu-isu yang dihadapi oleh golongan LGBTQ” yang berkhidmat di dalam jabatan tersebut, sebagaimana yang tertulis di dalam surat tersebut.
Selain Tentera Udara, Tentera Laut AS juga tidak ketinggalan dalam mempromosikan bulan LGBT dengan memuat naik hantaran pada media Twitter mereka dengan kapsyen,
“Sepanjang bulan Jun, United States Marine Corps (USMC) #Bangga dalam mengiktiraf dan memberi penghormatan terhadap sumbangan-sumbangan ahli-ahli LGBT kami yang berkhidmat. Kami komited dalam memupuk persekitaran yang bebas dari diskriminasi dan mempertahankan nilai-nilai kesamaan dengan maruah dan penghormatan.”
Andy Biggs, ahli perwakilan Arizona pada 14 Jun telah membuat satu hantaran Twitter menuntut Austin bagi pihak Kementerian Pertahanan AS mengeluarkan data bagi perbelanjaan sedemikian. Hantaran tersebut turut disertakan dengan pautan mengenai surat tersebut. Ianya mengandungi kapsyen seperti berikut,
“Agenda LGBT dari golongan kiri telah menyusup masuk ke dalam ketenteraan AS di bawah regim Biden. Setiausaha Austin mesti menunjukkan perincian bagaimana wang pembayar cukai digunakan semasa Pride Month dan bagaimana inisiatif-inisiatif ini berupaya meningkatkan persediaan ketenteraan.”
Antara kritikan yang ditonjolkan melalui surat tersebut adalah berkenaan jumlah wang yang tinggi digunakan pada perkara yang tidak sepatutnya. Pada surat tersebut juga tertulis,
“Bajet jabatan kamu adalah di antara yang tertinggi di dalam pentadbiran persekutuan, tapi kamu terus menerus meminta lebih peruntukan daripada Kongres. Kamu telah memilih untuk menggunakannya bagi mempromosikan program sosial daripada memajukan persiapan ketenteraan”.