Persidangan Khas Raja-Raja Melayu 16 Jun Ini
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 10 Jun 2021 – Raja-Raja Melayu (RRM) akan mengadakan satu persidangan khas pada 16 Jun 2021 ini untuk membincangkan usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam memerangi penularan Covid-19 dan pelaksanaannya sepanjang tempoh darurat sejak lima bulan lalu.
“Persidangan Khas Raja-Raja Melayu ini adalah atas inisiatif Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan akan dipengerusikan oleh Baginda,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin.
Tambahnya, “Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.”
“Ini adalah Perbincangan Khas kali kedua seumpamanya diadakan di Istana Negara sejak Seri Paduka Baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari, 2019.”
Persidangan khas pertama pernah dibuat pada 25 Oktober 2020, iaitu ketika Raja-Raja Melayu membincangkan nasihat Perdana Menteri dan kabinetnya mengenai keperluan satu perisytiharan darurat dibuat.
Cadangan Jemaah Menteri tidak diperkenankan pada masa itu, tetapi kemudian diberi perkenan oleh Al-Sultan Abdullah pada 11 Januari 2021.