Persetujuan PM Dengan Pembangkang Langkah Cerdik – Haniff Khatri
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2021 – “Pelantikan Jemaah Menteri sewajarnya tidak cetuskan pergolakan politik lanjut. Fokus wajib ditumpukan kepada masalah sosioekonomi rakyat akibat pandemik kerana sememangnya rakyat sudah jemu dan bosan dengan mainan gila kuasa politik ini,” kata peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
Menurutnya, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob telah menampilkan langkah cerdik awalan dalam percubaan untuk “Lumpuhkan Cetusan Golakan Politik” lanjut, melalui persetujuan dengan pemimpin pembangkang.
“Persetujuan am telah diperolehi oleh Ismail Sabri dengan pihak pembangkang bahawa mereka tidak akan mengganggu kepimpinannya sebagai Perdana Menteri selagi fokus dan polisi utama kerajaan dipusatkan kepada masalah utama sosioekonomi rakyat.”
Kata Haniff lagi, besar kemungkinan Usul Undi Tidak Percaya tidak akan berjaya walaupun ada antara 114 Ahli Dewan Rakyat yang mahu menarik sokongan dari Ismail Sabri kerana tidak puas hati dengan senarai lantikan Timbalan Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.
Ini kerana pihak pembangkang tidak berhasrat menjadi “alat mainan” politikus yang gila kuasa dan pentingkan diri sendiri.
Tambahnya, pada realitinya pencalonan Perdana Menteri tidak akan mencetuskan pergolakan politik drastik dengan sendirinya kerana jawatan ini adalah untuk membantu KDYMM Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam melaksanakan tanggungjawab di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri, seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.”
Ujar Haniff lagi, pada hakikatnya, soal kejujuran dan keikhlasan sokongan kesemua 114 Ahli Dewan Rakyat yang menyokong Ismail Sabri hanya akan terzahir dan terserlah apabila PM ke-9 ini melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri dalam pembentukan kerajaan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya lagi, banyak berita melaporkan tentang sokongan bersyarat dan permintaan dari parti-parti yang menyokong Ismail Sabri.
“Disebabkan fikiran sempit seperti inilah yang menyebabkan kegusaran rakyat bahawa kemelut politik masih tidak akan reda seperti yang sepatutnya dilakukan menurut titah Agong.”
Namun, langkah tepat dan baik yang diambil oleh Ismail Sabri pada Rabu, 25 Ogos 2021 akan menjadi “bahan penebat” kepada mana-mana “cetusan api” politik lanjut, apabila Perdana Menteri telah berbesar hati untuk berjumpa dengan pemimpin pihak pembangkang dalam mesyuarat bersama PH bagi menangani isu Covid-19 dan ekonomi.