Tempatan

Permohonan Jadi Syarikat AP Khas Untuk Syarikat Bumiputera Dibuka Mulai Julai Ini

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 20 Jun 2024 – Syarikat bumiputera termasuk yang tidak pernah terlibat dalam aktiviti automotif boleh memohon untuk dilantik sebagai syarikat AP Terbuka bagi menceburi aktiviti pengimportan dan penjualan kenderaan di Malaysia, berkuatkuasa 1 Julai ini.

Dasar ini selaras dengan usaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk terus meningkatkan keterangkuman dan ketelusan dalam proses permohonan AP Terbuka.

MITI dalam kenyataan memberitahu, syarikat bumiputera berminat tertakluk kepada syarat-syarat utama iaitu berstatus sendirian berhad, pemilikan 100 peratus bumiputera, mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta dan sedang beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.

“Pelaksanaan dasar ini dijangka akan menarik lebih banyak syarikat bumiputera untuk berkecimpung dalam industri automotif.”

“Pertambahan bilangan syarikat akan menjadikan segmen ini lebih kompetitif dan berdaya saing,” kata kenyataan itu di sini semalam.

MITI menjelaskan, objektif utama kerajaan adalah untuk terus memperkasa agenda sosioekonomi bumiputera dengan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan bumiputera yang berdaya saing untuk terlibat dalam sektor automotif.

Oleh itu, MITI mempelawa syarikat-syarikat Bumiputera yang berminat dan layak untuk membuat permohonan.

“Garis panduan, borang permohonan dan senarai semak boleh dirujuk di https://www.miti.gov.my/index.php/pages/view/3796,” katanya.

Dasar AP Terbuka yang dilaksanakan sejak tahun 1970 telah berjaya melahirkan syarikat Bumiputera yang berdaya maju, bukan sahaja di dalam segmen mengimport dan menjual kenderaan, tetapi juga dalam aktiviti- aktiviti utama di sepanjang rantaian bekalan seperti perkhidmatan selepas jualan, insurans dan logistik.

Dasar ini merupakan antara dasar berkaitan Bumiputera yang masih dikekalkan sehingga kini dan penting bagi mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara seperti yang digariskan di bawah Dasar Ekonomi Baharu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: