Tempatan

Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2022 Telah Dibuka

KUALA LUMPUR, 21 Januari 2022 – “Permohonan bagi Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2022 untuk pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di dalam dan luar negara telah dibuka.”

Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), BYDPA menawarkan sebanyak 12 biasiswa iaitu enam untuk pengajian peringkat Sarjana dan enam untuk pengajian PhD di dalam dan luar negara dalam bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-undang dan Kewangan Islam.

JPA dalam kenyataannya juga, memaklumkan syarat permohonan adalah calon perlu mempunyai keputusan akademik yang amat cemerlang iaitu Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) minimum 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana.

Selain itu, calon perlulah berwarganegara Malaysia dan berumur tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari 2022.

“Penglibatan secara aktif dalam penghasilan kerja-kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan, reka cipta seni atau teknologi dan sebagainya adalah satu kelebihan buat calon Sarjana manakala bagi calon PhD ia adalah diwajibkan.”

Calon juga mestilah telah mendapat tawaran tanpa syarat (unconditional offer) bagi pengajian secara sepenuh masa pada tahun penawaran atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa pada tahun penawaran di institusi pengajian tinggi yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian.

Permohonan Biasiswa BYDPA boleh dibuat secara dalam talian melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my.

Tarikh tutup permohonan adalah pada 22 Februari 2022, segala maklumat lanjut mengenai penawaran ini, boleh melayari portal http://esilav2.jpa.gov.my atau hubungi talian 03 – 8885 3879 / 3569 / 3438/ 3371/ 3571 pada setiap hari bekerja mulai 9 pagi hingga 5 petang atau e-mel kepada [email protected]

Leave a Reply

Back to top button