Tempatan

Permit Perkhemahan Bukan Bidang Kuasa, Jabatan Pertanian Jawab Father’s Organic Farm

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 22 Disember 2022 – Jabatan Pertanian (DOA) menafikan pernah membincangkan perihal permohonan permit tapak perkhemahan dengan pengusaha Father’s Organic Farm kerana ianya di luar bidang kuasa jabatan itu.

“DOA tidak mempunyai kuasa untuk memberikan permit, lesen atau khidmat nasihat kepada mana-mana pengendali yang menawarkan tapak perkhemahan,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, Jabatan Pertanian khususnya Pejabat Pertanian Daerah Hulu Selangor tidak pernah memberi ulasan atau berbincang berkenaan permit tapak perkhemahan atau sebagainya dengan pengusaha Father’s Organic Farm.

“Perkara tersebut adalah di luar bidang kuasa Jabatan Pertanian.”

“Kami hanya berperanan memberi khidmat nasihat berkaitan proses dan kaedah untuk mendapatkan pensijilan Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic) serta lawatan berkaitan proses tersebut di Father’s Organic Farm.”

Tambahnya lagi, DOA berfungsi untuk memberikan khidmat pengembangan pertanian dalam pengeluaran bahan makanan yang mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan serta menguatkuasakan akta-akta yang menjaga keselamatan, kualiti dan melindungi industri pertanian negara dari ancaman perosak dan penyakit serta memudahkan perdagangan antarabangsa.

Terdahulu, pihak Father’s Organic Farm memberitahu bahawa pihaknya tidak boleh memohon lesen tapak perkhemahan kerana permit seperti itu tidak wujud, memetik DOA sebagai salah satu agensi kerajaan yang memaklumkan kepada mereka tentang perkara itu.

16 Disember lalu, seramai 94 orang mangsa yang berada di tapak perkhemahan tersebut terlibat dengan kejadian runtuhan.

Terkini, setakat jam 11:50 pagi tadi, sejumlah 94 orang mangsa yang berada di tapak perkhemahan tersebut terlibat dengan kejadian runtuhan yang berlaku. 61 orang dalam keadaan selamat dan cedera. Manakala 30 orang meninggal dunia iaitu 6 kanak-kanak lelaki, 4 kanak-kanak perempuan, 14 wanita dewasa dan 6 lelaki dewasa. Pencarian masih diteruskan untuk mengesan 3 mangsa yang tidak ditemui lagi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: