NGO

PERLUKAH TUKAR KERAJAAN SAAT COVID- 19 MEMUNCAK? – Haji Rashidi Haris

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Beberapa hari ini hangat desas-desus berkenaan gesaan untuk bertukar kerajaan. Hal ini lebih hangat diperkatakan setelah timbul isu kenyataan yang mengelirukan di Dewan Rakyat daripada Menteri Undang-Undang apabila mengumumkan ordinan darurat telah dibatalkan pada 21 Julai, 2021 yang memberikan implikasi buruk terhadap kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN).

2. Kesan dan akibatnya bukan hanya PN dilihat mempunyai masalah dengan parti-parti politik pembangkang dan satu dua orang dalam parti yang bersama dengannya dalam PN, bahkan kini desas-desus seperti sedang mengalami perselisihan faham dengan pihak istana.

3. Kebetulan pula baru-baru ini pada Sabtu 31 Julai 2021, sekumpulan anak muda turun berhimpun di kota raya Kuala Lumpur menyuarakan bantahan tidak puas hati dengan pentadbiran PN dan menggesa agar berundur dari kerajaan kerana dikatakan telah gagal dalam mengatasi masalah pandemik, ekonomi dan sosial yang sedang melanda negara.

4. Perhimpunan yang pastinya haram kerana mustahil pihak PDRM memberi kelulusan telah menyaksikan situasi kurang ajar kumpulan anak muda ini dengan menunjukkan isyarat lucah bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan PN. Perbuatan-perbuatan sedemikian tidak menggambarkan adab dan budaya masyarakat majmuk rakyat Malaysia, ianya lebih menjurus kepada imej golongan anarki dan liberal yang melampau.

5. Himpunan ini mengundang pandangan negatif majoriti rakyat . Apabila saat negara sedang dilanda masalah pandemik memuncak dengan pertambahan kes dijangkiti, nampaknya terdapat segelintir pihak yang dilihat cuba mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh bagi mendapatkan kuasa dengan mempergunakan semangat anak muda.

6. Bahkan di Dewan Rakyat, pembangkang turut memainkan sentimen bahawa PN adalah merupakan sebuah ‘kerajaan gagal’ selain di media sosial (medsos) mereka. Seperti yang dilaporkan di medsos terdapat beberapa kenyataan dari ahli politik pembangkang dan wakil NGO yang pro-pembangkang dan juga mereka yang pernah terlibat dengan penganjuran “Bersih”, memberikan sokongan terhadap tindakan yang dilakukan oleh kumpulan anak muda tersebut.

7. Sebagai rakyat apakah kita sudah bersedia sekiranya berlaku sekali lagi pertukaran kerajaan setelah berlakunya pertukaran kerajaan sebelum ini? Setiap tindakan sudah tentu perlu difikirkan akan baik dan buruk atau pro dan kontra agar rakyat tidak berterusan menjadi bidak catur kepada permainan licik politikus yang hanya sekadar menjual nama rakyat.

8. Pertukaran kerajaan dalam masa pandemik sedang mengganas pada ketika ini tidak menjamin pentadbiran kerajaan akan datang lebih cekap dan adil. Dan provokasi ini adalah dari pihak pembangkang yang jelas tidak mempedulikan nasib rakyat. Himpunan “Keluar dan #Lawan” sebagai bukti mereka tidak peduli penyebaran jangkitan Covid19 ini.

9. Beruntungnya semasa kekecohan ini kita diberi peluang memilih siapa paling layak menerajui pemerintahan negara, sebab kita sudah dapat melihat semua parti yang ada mentadbir negara sama ada BN, PH dan PN. Hanya PH dan PN sahaja yang sempat diuji kecekapan mereka ketika pandemik melanda.

10. Pada ketika itu, dapat dilihat PH lebih gagal dalam urusan pentadbiran negara di mana mereka bukan hanya membuka pintu masuk seluas-luasnya pelancong dari negara China hanya kerana mahu tingkatkan jumlah pelancongan ke Malaysia bahkan negara juga mengalami deflasi pada ketika itu. Rakyat juga tidak menerima banyak bantuan bahkan lebih sedikit daripada zaman BN.

11. Jika kerajaan berubah sekarang, apa jaminan tidak akan berlaku lagi untuk gerakan untuk menukar kerajaan dalam masa yang terdekat memandangkan terdapat perbezaan sokongan majoriti yang amat tipis?

12. Sampai bilakah kita mahu berada krisis politik yang tak berkesudahan, mengganti kerajaan umpama menyalin baju? Adakah kerajaan akan datang berupaya membela nasib rakyat atau mereka hanya akan mengutamakan perjuangan dan dendam politik mereka dalam mencatur kekuatan parti?

13. Sekiranya negara kita asyik mengubah kerajaan ianya akan memberikan satu gambaran yang negatif berkenaan ketidakstabilan politik seterusnya akan mengancam keselamatan negara. Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa kestabilan politik itu amat penting kerana negara yang tidak stabil politiknya, ianya akan mengganggu proses pertumbuhan ekonomi dan sosial serta mengancam keselamatan negara tersebut.

14. Negara kita bukan hanya sedang bergelut dengan masalah yang berlaku di dalam negara bahkan kita turut mengalami konflik keselamatan antarabangsa yang melibatkan Laut China Selatan. Saat ini kapal perang British sudah berada di zon merah di perairan Laut China Selatan. Dan kita berharap agar dijauhi dari sebarang bentuk peperangan.

15. Pertukaran kerajaan secara kerap tanpa melalui PRU juga akan menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap negara. Negara kita sedang mengalami kesulitan dalam mendapatkan keyakinan daripada pelabur asing untuk memberikan komitmen bagi melabur di negara. Bursa negara masih kukuh tetapi tidak mustahil boleh merudum pada bila-bila masa.

16. Kesimpulannya, pertukaran kerajaan tanpa melalui PRU bukan sahaja diragui kemampuan untuk memperbaiki keadaan yang sedia ada malah dikhuatiri akan memburukkan lagi keadaan dan kehidupan rakyat yang makin tertekan dari hari demi hari. Seperti yang saya pernah sebut di artikel saya sebelum ini; “Jangan terperosok lagi ke lubang ular yang sama.” Orang Melayu harus bangkit dan menerapkan kefahaman ilmu yang benar agar tidak mudah tertipu dengan persepsi, janji palsu dan lakonan pembangkang.

Haji Rashidi bin Haris
Ketua Aktivis MUAFAKAT

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button