Perlembagaan Tidak Benarkan Sekolah Vernakular Guna Bahasa Mandarin, Tamil – Peguam
PUTRAJAYA, 06 Julai 2023 – Satu artikel dalam Perlembagaan Persekutuan melarang sekolah vernakular dalam sistem pendidikan kebangsaan menggunakan bahasa Tamil atau Mandarin sebagai bahasa pengantar, kata peguam, Haniff Khatri kepada Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam.
Ujarnya, sekolah vernakular wujud untuk tujuan penyampaian ilmu dan oleh itu dihalang dari segi undang-undang daripada menggunakan bahasa seperti Mandarin dan Tamil, seperti yang dinyatakan dalam Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
BACA JUGA: Nelayan Haram Vietnam Mengganas, Tetak Pegawai APMM
BACA JUGA: 44% Pengundi Berdaftar PRN Berumur Antara 21-39 – Suruhanjaya Pilihan Raya
BACA JUGA: Tiada Keputusan Naikkan Tarif Air Selangor – MB
“Oleh itu, jika kita meneliti Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, sekolah vernakular yang berada di bawah kuasa awam diwajibkan secara sah menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perhubungan di sekolah.”
“Kita tidak boleh menghalalkan sesuatu yang menyalahi undang-undang dengan mengambil kira faktor luar,” hujah beliau lagi di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Supang Lian.
Hujah ini disampaikan dalam rayuannya terhadap keputusan dua hakim Mahkamah Tinggi yang memutuskan kewujudan sekolah vernakular mempunyai asas Perlembagaan dan mereka boleh menggunakan bahasa selain Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Katanya lagi, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah tersilap menolak saman oleh beberapa organisasi yang memohon pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah vernakular bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Hujah Haniff, perayu tidak memohon pemansuhan sekolah vernakular. Sebaliknya, mereka mahukan penggunaan bahasa pengantar, Bahasa Malaysia, yang boleh menyatukan sekolah vernakular dan kebangsaan.
Haniff, yang mewakili Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA) berkata, Hakim Nazlan Ghazali, yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, telah tersilap apabila mengisytiharkan bahawa sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam, manakala Hakim Abazafree Abbas berkata sebaliknya.
Dalam rayuan semalam, Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (MAPPIM), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia merayu terhadap keputusan dua hakim Mahkamah Tinggi yang memutuskan kewujudan sekolah tersebut mempunyai asas Perlembagaan dan mereka boleh menggunakan bahasa selain Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Haniff dan Aidil Khalid mewakili MAPPIM dan GAPENA, ISMA diwakili oleh peguam, Khairul Azam Abdul Aziz, dan Ikatan Guru-Guru Muslimin Malaysia pula diwakili oleh peguam, Datuk Shaharudin Ali.
Para hakim menetapkan hari ini untuk pengurusan kes.