Tempatan

Perlembagaan Iktiraf, Hak, Keistimewaan, Prerogatif & Kuasa Raja Melayu

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SELANGOR, 07 Mac 2023 – Perlembagaan yang digubal dengan jelas mengiktiraf segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa Raja-Raja Melayu sebagai Raja Pemerintah serta Ketua Agama Islam di negeri masing-masing,” titah DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sewaktu berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) kali ke-69, semalam.

Dalam majlis tersebut, baginda bertitah bahawa sesungguhnya martabat Institusi Raja-Raja Melayu berada di atas sebarang percaturan parti politik (above party politics) malahan Institusi Raja-Raja Melayu juga merupakan pemegang amanah yang menjadi tonggak kesetiaan rakyat jelata.

Titah baginda, kuasa-kuasa itu turut termaktub dalam Bahagian I, Perkara 3 serta peruntukan berkaitan dalam Bahagian IV, Perkara 34 dan 38 yang juga diikuti oleh Bahagian V, Perkara 70 dan 71 di mana dalam perkara tersebut turut diperincikan di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri dan Enakmen Pentadbiran Islam di peringkat negeri masing-masing.

BACA JUGA: JAKIM Tak Campur Urusan Tauliah Ceramah Agama

BACA JUGA: Isu Kualiti Makanan Mangsa Banjir, KPWKM Beri Teguran

BACA JUGA: Banjir Jejaskan Hasil Padi

“Memandangkan asas undang-undang negara kita meletakkan kuasa-kuasa mutlak tersebut sebagai hak Raja-Raja Melayu, maka jelaslah bahawa Majlis Raja-Raja berperanan sebagai badan tertinggi untuk membahaskan isu-isu berkaitan agama Islam, selain memutuskan hal-hal penting bersabit dengan amalan dan aturan agama Islam di Malaysia.”

“Amalan ini tidak jauh bezanya daripada kelaziman pemerintahan Khalifah Uthmaniyah, yang sangat mementingkan hubungan rapat di antara Sultan dan Sheikhul Islam atau muftinya, malah turut menyantuni pemimpin agama-agama lain yang bernaung di bawah pemerintahannya,” titahnya.

Baginda bertitah, amalan tersebut bahkan masih diteruskan di negara-negara Islam yang mengamalkan pemerintahan beraja sehingga ke hari ini seperti Maghribi, Jordan dan Brunei.

Sehubungan itu, Baginda bagi pihak Majlis Raja-Raja menzahirkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri di atas pelantikan Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri yang bukan daripada kalangan ahli politik demi menjamin prinsip pengasingan kuasa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini juga bersesuaian dengan prinsip Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan,” titah Baginda lagi.

Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) kali ke-69 ini telah diadakan di Istana Melawati, Putrajaya yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Pengerusi MKI, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff selaku Setiausaha MKI.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: