Tempatan

Perlembagaan Bahasa Melayu: Tindakan Bacul Yang Menghina YDPA – Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 3 Mei 2023 – Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar tampil menerangkan mengenai perbezaan ‘prescribe’ dan ‘gazette’ yang menjadi antara isu mengapa teks Bahasa Melayu sehingga kini belum lagi disahihkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau sekali gus menjawab persoalan mengenai Perlembagaan Persekutuan yang menggunakan perkataan ‘prescribe’ bukan ‘gazette’.

Persoalan mengenai kenapa Perlembagaan Persekutuan memilih kalimah ‘prescribe’ bukan ‘gazette’? Dato’ Zainul Rijal berkata, ia adalah berkemungkinan besar kerana penentuan itu dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang merupakan Kuasa Eksekutif sebenar bagi Persekutuan berdasarkan Perkara 39.

Oleh itu, tindakan Ketua Eksekutif negara itu mempunyai efek perundangannya sendiri dan tidak berkeperluan untuk digazetkan bagi membawa efek tersebut.

Jelas beliau, dalam melaksana Kuasa Eksekutif Persekutuan ini YDPA tidak memerlukan instrumen perundangan lain bagi memberi kesan perundangan berbeza dengan tindakan Jemaah Menteri, Legislatif dan lain lain.

Dengan demikian, jelas Perlembagaan tidak berhasrat penetapan teks sahih bahasa kebangsaan bukan dalam bentuk gazette atau warta. Ia hanya perlu ditetapkan oleh YDPA melalui titah Baginda.

Tambah beliau, makna harfiah ‘prescribe’ perlu diberikan bagi memahami peruntukan Perkara 160B tersebut, ia tidak perlu ditafsirkan berlawanan atau diberatkan dengan keperluan-keperluan lain seperti pewartaan dan lain-lain.

Isu ini, merujuk kepada hansard Parlimen semasa pindaan yang memasukkan Perkara 160B ke dalam Perlembagaan Persekutuan pada 2001, penggubal pindaan tersebut menyatakan dengan jelas, jika sudah wujud naskhah Bahasa Melayu (BM), maka undang-undang termasuk Perlembagaan di dalam Bahasa Inggeris akan digantikan oleh naskhah BM dan naskhah BM tersebut akan dijadikan naskhah sahih. Pada 29 September 2003, bukan hanya naskhah BM Perlembagaan Persekutuan sudah disiapkan, malah YDPA juga telah melancarkannya.

Maka, atas dasar itu juga timbul persoalan, kenapa sehingga kini, naskhah yang dilancarkan tersebut, masih belum juga dijadikan teks rasmi walaupun setelah dilancarkan oleh YDPA?

Akibat Kebaculan Pihak Tertentu Bahasa Penjajah Terus Disanjung

Menurut Dato’ Zainul Rijal, persoalan ini sangat menyedihkan untuk dijawab kerana walaupun telah lebih enam dasawarsa negara merdeka, kita masih menjunjung undang-undang tertinggi negara di dalam bahasa penjajah.

Walaupun YDPA ketika itu (Raja Perlis) pada tahun 2003 telah melancarkan versi bahasa kebangsaan bagi Perlembagaan Persekutuan, tetapi akibat kebaculan pihak tertentu mengambil tindakan sewajarnya selepas itu, teks Bahasa Inggeris masih lagi kekal menjadi teks sahih.

“Ia sesungguhnya, merupakan suatu penghinaan kepada YDPA yang berkenan melancarkan teks bahasa kebangsaan tersebut,” tegasnya.

“Saya pasti majlis pelancaran tersebut bukan hanya suatu majlis seremonial sahaja tetapi mestilah dihasratkan agar mempunyai kesan dan efek perundangan. Sekiranya tidak, tidaklah YDPA bersusah payah mencemar duli bagi melancarkan teks Perlembagaan Persekutuan di dalam Bahasa Kebangsaan itu,” tambah beliau.

Ditanya, apa tindakan segera yang wajar dibuat dan siapa pula yang sepatutnya bertanggungjawab menjadikan Teks Bahasa Melayu ini sebagai rasmi?

Jangan Lagi Berdolak Dalik Dalam Isu Ini

Dato’ Zainul Rijal berkata, Jabatan Peguam Negara perlu mengesahkan penetapan YDPA bagi teks Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan menurut Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan melalui pelancaran yang dibuat pada 29 September 2003 itu.

“Usaha penterjemahan Perlembagaan Persekutuan itu bukan suatu yang mudah, ia tidak sepatutnya menjadi sia-sia,” tegas beliau lagi.

Justeru, jika Jabatan Peguam Negara masih keberatan, Jemaah Menteri hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi penetapan tersebut dengan segera berdasarkan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

“Kemelut ini perlu ditamatkan dengan segera. Jangan lagi berdolak dalik dalam isu ini,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: