Perkuburan Berusia 120 Tahun Bakal Lenyap, Penduduk Cetuskan Kebimbangan
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SETIU, 30 Januari 2023 – Penduduk di Kampung Bari Kecil, Setiu menzahirkan kebimbangan akan tanah perkuburan Islam berusia 120 tahun yang bakal lenyap ekoran hakisan pantai yang semakin memburuk.
Bercakap kepada sebuah portal berita tempatan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Abu Bakar Omar berkata, biarpun tiga projek bagi menahan hakisan telah dilaksanakan sejak tahun 2020, namun ia masih gagal menyelesaikan isu berkenaan.
Tambahan lagi, fenomena air pasang pada setiap kali datangnya Monsun Timur Laut telah mengakibatkan jarak kubur tersebut semakin menghampiri pantai dengan jarak 20 meter.
BACA JUGA: Pemandu Mabuk: “Pesalah Latut Dihukum Setimpal Dengan Perbuatan Mereka”
BACA JUGA: CPTPP: Penindasan Kepada Golongan Marhaen – Pengerusi PEMBELA
BACA JUGA: Lato-Lato, Permainan ‘Haram’ Indonesia Kini Viral Di Malaysia
“Laut bergelora sejak sekian lama mengakibatkan wakaf dan tandas awam 200 meter dari tanah perkuburan juga runtuh akibat hakisan dan kubur paling hampir berjarak dua meter dari pantai.”
Mengulas lanjut, pelbagai cara telah diusahakan misalnya meletakkan guni, batu sangkar mahupun tambunan pasir di sepanjang 300 meter, namun ia masih juga gagal untuk menahan hakisan.
Beliau menjelaskan lagi, kebenaran untuk mengalihkan jenazah telah diberikan oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Terengganu (JHEAT), tetapi penduduk perlu menanggung sendiri kos mengalihkan jenazah waris masing-masing yang menelan kos sehingga RM2,000 setiap jenazah sekali gus mengakibatkan penduduk berdepan dengan kekangan kos.
“Terdapat 410 kubur di tanah perkuburan ini dengan 150 daripadanya berisiko diancam hakisan pantai kerana jarak semakin dekat dengan pantai,” ujarnya lagi menzahirkan rasa bimbang.
Kata Pengerusi Masjid Kampung Bari Kecil, Mohamad Sabri Mohamad, masalah hakisan ini berlaku saban tahun setiap kali tibanya musim monsun yang membadai Pantai Bari Kecil.