Tempatan

Perkhidmatan Rel & Laluan Bas Terpilih Beroperasi 24 Jam 30&31 Ogos – RapidKL

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 25 Ogos 2024 – Semua perkhidmatan rel merangkumi LRT, MRT dan Monorel, serta BRT Laluan Sunway dan laluan bas terpilih akan beroperasi selama 24 jam pada 30 dan 31 Ogos ini bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

Menurut kenyataan RapidKL, perkhidmatan yang dipertingkatkan ini dijalankan buat pertama kalinya sebagai inisiatif Prasarana dalam menyokong usaha kerajaan untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan.

“Sehubungan itu, semua servis rel akan beroperasi bermula dari jam 6.00 pagi pada 30 Ogos sehingga 11.30 malam pada 31 Ogos 2024.

“Rapid KL akan turut menyediakan sehingga 60 bas perantara percuma dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke Dataran Putrajaya bermula jam 6.00 petang, 30 Ogos hingga jam 3.00 petang, 31 Ogos bagi memudahkan warga kota yang ingin meraikan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang bakal berlangsung di Putrajaya.

“Selain itu, sebanyak sembilan buah bas akan disediakan dari MRT Putrajaya Sentral ke lokasi-lokasi menarik di sekitar Putrajaya seperti Taman Botani, Marina Putrajaya, Alamanda dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 31 Ogos 2024,” memetik kenyataan tersebut.

“Pihak Prasarana amat berbangga kerana dapat menyediakan perkhidmatan ini buat rakyat Malaysia dan kami berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Lebih 4,000 kakitangan barisan hadapan Rapid KL akan bertugas secara syif bagi memastikan kelancaran operasi 24 jam dan memberikan pengalaman perjalanan yang baik sempena Merdeka 2024.

“Kami berharap semua rakyat Malaysia dapat hadir bersama-sama memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-67 sebagai tanda cinta kepada negara,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Encik Mohd Azharuddin Mat Sah.

Justeru, pihak Prasarana menjemput warga kota untuk menggunakan perkhidmatan rel dan bas Rapid KL bagi mengelakkan kesesakan di mana lebih 10,000 petak parkir tersedia di beberapa stesen rel terpilih.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: