Perketat Sistem Pengesahan Identiti Kakitangan Hospital – MMA
PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Pihak berkuasa digesa untuk memperketatkan sistem keselamatan fasiliti kesihatan terutamanya dalam pengesahan identiti kakitangan, menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA)
Ia adalah berikutan daripada insiden remaja berusia 14 tahun menyamar menjadi pegawai perubatan dan memasuki dewan bedah, menurut laporan.
Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz berkata, tindakan berkenaan wajar diambil supaya kejadian seumpamanya tidak lagi berulang malah turut menegaskan bahawa pelanggaran keselamatan boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa pesakit.
“Keselamatan dan privasi pesakit mesti kekal sebagai keutamaan tertinggi pada setiap masa,” katanya baru-baru ini.
Pihak pengurusan hospital juga digesa untuk menyiasat dengan teliti perkara berkenaan bagi memastikan sama ada kejadian tersebut telah menjejaskan penjagaan pesakit, ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut mencadangkan agar kesihatan mental pelajar tersebut dinilai memandangkan ia merupakan insiden luar biasa bagi seorang remaja untuk berkelakuan sedemikian.