Tempatan

Kalimah Allah: Memorandum PEMBELA Kebangsaan Kepada Majlis-Majlis Agama Islam Seluruh Malaysia

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 29 Mac 2021 – Hari ini, NGO-NGO Islam yang bernaung bersama Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA Kebangsaan) secara serentak menyerahkan Memorandum Isu Kalimah Allah 2.0 kepada Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri di seluruh Malaysia.

Ia sebagai memenuhi resolusi yang telah dibuat semasa Himpunan Tergempar NGO-NGO Islam pada 14 Mac 2021 lalu berkenaan isu penghakiman kes Kalimah Allah. Lebih 100 NGO Islam di seluruh negara menyertai serahan memorandum ini.

Memorandum yang diserahkan antara lain membangkitkan isu sejarah perundangan negara, kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan Negeri-Negeri selain Sarawak, kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu dan perjuangan agama, bangsa dan tanah air (ABATA) yang langsung tidak diambil kira dalam penghakiman lantas menyebabkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dipertikai.

“Perjuangan ABATA (agama, bangsa dan tanah air) dilihat tidak mendapat tempat di dalam penghakiman-penghakiman mahkamah khususnya di dalam penghakiman-penghakiman terbaru dalam kes Rosliza bt Ibrahim mlwn Kerajaan Negeri Selangor, Iki Putra bin Mubarak melawan Kerajaan Negeri Selangor dan Jill Ireland melawan Kementerian Dalam Negeri sehinggakan bidang kuasa Mahkamah Syariah dipertikai, undang-undang jenayah syariah diisytihar tidak sah dan kalimah suci Allah dibenar digunakan oleh orang bukan Islam bagi merujuk kepada agama bukan Islam,” demikian menurut kenyataan PEMBELA di dalam memorandum penyerahan.

“PEMBELA menegaskan penghakiman-penghakiman yang disebut di atas dan beberapa penghakiman lain telah gagal mengambil kira dan memberi pertimbangan kepada sejarah perundangan negara, kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan Negeri-Negeri selain Sarawak serta kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu.”

Tambah PEMBELA lagi, umat Islam pelbagai lapisan telah merasakan himpitan perundangan yang dihadapi sekarang akan memberi ramifikasi negatif terhadap usaha untuk mengarusperdanakan syariah di dalam negara kita.

Malah secara langsung, kuasa Raja-Raja Melayu juga semakin dihakis secara sistematik dan berkemungkinan akan terpahat di muzium sahaja.

“Walaupun negara telah merdeka dari penjajahan lebih enam puluh tahun yang lalu, namun kedudukan agama Islam, bangsa dan Raja-Raja Melayu masih lagi dipersoal malah tidak diberikan tempat sewajarnya sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Terkilan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam keputusan membenarkan masyarakat Kristian menggunakan kalimah Allah, Kaabah, Baitullah dan Solat, PEMBELA menegaskan bahawa umat Islam yang merupakan penganut agama majoriti di Malaysia mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agamanya sebagaimana dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan sama seperti rakan-rakan bukan Islam yang lain.

“Kami sangat terkilan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak meneliti kes Jill Ireland berdasarkan apakah ‘integral part of the religion’ sebagaimana yang diputuskan di dalam kes kalimah Allah dalam kes Roman Titular Archibishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri. Hak umat Islam mepertahankan kalimah jalalah dari diertikan dengan penuh kesyirikan itu sendiri dijamin oleh kebebasan beragama bagi umat Islam.”

Menurut memorandum tersebut, sudah sampai masanya Majlis Agama sebagai pihak berkuasa utama agama dalam negeri memainkan peranan proaktif dalam cabaran-cabaran perundangan Islam ini.

PEMBELA menyeru semua pihak berkuasa utama agama dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri agar:-

i) Memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk kebenaran mencelah di dalam prosiding rayuan kes kalimah Allah (Jill Ireland melawan Kementerian Dalam Negeri) kelak serta melantik peguam-peguam yang berkaliber bagi mewakili Majlis.

ii) Menubuhkan suatu jawatankuasa teknikal bagi mengkaji semua undang-undang sama ada Perlembagaan Persekutuan ataupun undang-undang Syariah dalam Negeri supaya dipinda dan tidak memberi ruang kepada sebarang cabaran pada masa akan datang.

iii) Kesemua Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, Mufti-Mufti dan entiti negeri yang lain perlu berganding bahu bersama menggarap tindakan bagi mempertahankan perundangan Syariah dan Mahkamah Syariah.

iv) Menyembah maklum kepada DYMM Sultan agar memperkenan menzahirkan kebimbangan penyalahgunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam melalui titah baginda.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: