Tempatan

Perkasakan Syariah Tindakan Kebelakang Untuk Perpaduan Malaysia – Setiausaha DAP Sabah

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU, 31 Mac 2021 — Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin mendakwa, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memperkasakan undang-undang Syariah dan memperkenalkan undang-undang baharu menyekat penyebaran agama lain terhadap orang Islam sebagai satu tindakan mundur untuk perpaduan di Malaysia.

“Orang bukan Islam di Sabah hidup harmoni dengan umat Islam di negeri ini tanpa memerlukan undang-undang seperti itu, apatah lagi pindaan terhadap Perlembagaan Malaysia untuk menyekat kebebasan beragama.”

Dakwanya lagi, kenyataan Zahid itu bertentangan dengan perjanjian sewaktu pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Untuk mengubah Perlembagaan Malaysia kita menjadi sesuatu yang tidak seperti apa yang dimaksudkan oleh bapa pengasas negara kita akan menjadi pengkhianatan besar bagi mereka. Adalah mustahak bagi pemimpin UMNO seperti Zahid untuk membaca Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) mengenai Persekutuan yang diusulkan, dan dia akan menyedari bahawa kebebasan beragama adalah salah satu tonggak utama dalam penubuhan Persekutuan Malaysia tercinta ini.”

Tambah Chan Foong Hin, walaupun Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda oleh dua pertiga majoriti Dewan Rakyat, namun, semua ahli Parlimen Sabah tidak boleh membiarkan hak-hak Negeri dikorbankan begitu sahaja.

“Walaupun (Zahid) menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak akan terjejas, ia tidak benar sepenuhnya. Di Sabah, kita juga mempunyai Undang-Undang Adat Anak Negeri dan Mahkamah Anak Negeri untuk mengatur undang-undang tersebut. Selain itu, kita telah melihat banyak kes persengketaaan melibatkan Undang-Undang Syariah, seperti pertikaian hak penjagaan anak oleh ibu bukan Islam, pertikaian dalam pembahagian harta anak yang meninggal di mana ibu bapanya bukan Islam.”

Dalam masa yang sama, UPKO Sabah menuntut autonomi sekiranya undang-undang Syariah dikuatkuasakan ke atas mereka.

Dakwa para pemimpin UPKO, komitmen untuk masyarakat sekular dan liberal terbias dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, di mana semua anggota parlimen Malaysia telah mengangkat sumpah untuk menjunjungnya.

“Mengubah Perlembagaan yang melibatkan asas Persekutuan Malaysia mesti menjadi perjanjian pakej. Kontrak sosial tidak boleh diubah oleh satu pihak sahaja. Sekiranya Tanah Melayu mahu ditadbir secara Syariah, maka Sabah dan Sarawak mesti menjadi wilayah autonomi.”

UPKO seterusnya meminta UMNO Sabah, BERSATU Sabah, PBS dan STAR untuk turut serta dalam mempertahankan hak dan kebebasan Borneo.

“Tanpa mengira kepercayaan, etnik, bahasa dan parti, orang Sabah dan Sarawak mesti bergabung menjadi satu.”

Dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU2020) baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu akan meminda Perlembagaan Persekutuan supaya undang-undang Syariah lebih berpengaruh sekiranya parti itu menang dua pertiga kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, terdapat keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan undang-undang Syariah diperkukuh dalam sistem perundangan Malaysia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button