Tempatan

Perkasakan Pendidikan Pondok Seperti Mana Pendidikan Tahfiz Di Malaysia – PU Hafiz

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SELANGOR, 09 Ogos 2022 – “Secara asasnya pondok menggunakan kitab-kitab turath yang muktabar dan tidak ada unsur-unsur ekstrem dan yang paling penting adalah pendidikan yang ditekankan dalam sistem pondok dan tahfiz semuanya adalah berteraskan al-Quran dan Sunnah Nabi S.A.W.,” ujar Ustaz Muhammad Hafiz Mohd Haneefa.

Menurutnya, pelajar tahfiz dan pondok ini diajar belajar bangun seawal pagi, mereka qiamullail, menghormati guru, duduk di dalam majlis ilmu berjam-jam dengan kitab, berjam-jam dengan al-Quran.

“Jadi sudah pastilah al-Quran dan juga kitab-kitab turath ini tidak mengajak kepada ekstrem, jadi jika ditanya benarkah sekolah pondok mengajar ekstrem sudah tentu ianya tidak benar,” katanya.

Menurut Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dikenali sebagai PU Hafiz ini, adalah tidak benar sama sekali dakwaan sesetengah pihak bahawa sekolah pondok menyebarkan fahaman ekstrem. Tuduhan umum tanpa fakta yang jelas adalah bercanggah dengan kaedah Islam yang menyebut (البينة على المدعي واليمين على من أنكر ) “Bagi yang mendakwa wajib membawa bukti, sedangkan yang mengingkari adalah bersumpah (menafikannya)”.

“Seperti yang saya sebutkan tadi, atas faktor mereka ini terlibat dengan pengajian kitab-kitab turath dan pengajian al-Quran mereka jauh daripada fahaman-fahaman yang terpesong seperti fahaman liberal, ajaran sesat, jauh sama sekali dari ajaran-ajaran yang terpesong akidah dan sebagainya.”

Jika Tidak Dipantau Pondok Berpontensi Ekstremis, Profesor Hanya Lahirkan Kegusaran Beliau

Jelasnya, secara peribadi saya mengenali juga Profesor Emeritus Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Bin Abd. Majid. Saya pernah jadi rakan forum bersamanya beberapa kali. Ilmu beliau amat tinggi dan disanjungi selain saya juga sempat menadah kitab dan belajar dengan beliau di UIA ketika mengambil beberapa subjek PHD di UIA, sekitar 10 tahun yang lepas.

“Jadi secara peribadi jauh saya nampak Prof menyatakan demikian maknanya sekolah pondok ini melahirkan ekstremis. Saya yakin beliau tidak berniat dan bermaksud membuat dakwaan seperti mana yang umum memahaminya. Bagi saya mungkin tajuk media sengaja dibuat panas begitu bagi menarik perhatian pembaca sahaja, itu biasalah.”

Jelas PU Hafiz, sebab saya tahu Dr Mahmood Zuhdi sendiri cukup memahami sistem pondok dan beliau sangat dekat dengan pondok. Hanyasanya, beliau mempersoalkan dan melahirkan kegusaran beliau jika pondok tidak dipantau sepenuhnya. Itu bukanlah isu pun.

Persoalan adakah boleh melahirkan ekstremis, agak mustahil pondok melahirkan ekstremis kecuali yang terpesong dari ajaran Islam sebenar lebih-lebih lagi tiada pemantauan dari pihak berwajib.

Menurut PU Hafiz, majoriti pondok berdaftar yang diuruskan oleh negara kita itu kita tidak risau. Ini apa yang dimaksudkan ialah sekiranya pihak dari luar yang membuka pondok atau kelas agama tanpa berdaftar yang itu yang saya nampak yang dimaksudkan oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr Mahmood Zuhdi.

Tambah PU Hafiz lagi, beliau sendiri terlibat secara langsung untuk pendidikan tahfiz. Kerajaan melalui JAKIM telah menubuhkan Jawatankuasa Dasar Pendidikan Tahfiz Negara.

Jelasnya, JAKIM ada memanggil persatuan di mana beliau sendiri mewakili Persatuan Tahfiz Negeri Selangor sebab tahfiz ini 1/3 yang berada di Malaysia ini ada hampir 500 buah di Selangor.

“Jadi kami dipanggil bersama untuk berkongsi pandangan dan idea. Apabila kita bekerjasama dengan baik, alhamdulillah pihak Kerajaan dan JAKIM juga agak agresif dan sangat terbuka serta memahami khususnya dalam memberikan bantuan.”

Beliau berkata, semua ini adalah satu usaha yang cukup besar termasuklah kita sekarang ini hampir menyiapkan satu instrumen untuk akreditasi ataupun untuk pengiktirafan sama ada pengiktirafan sebagai individu tahfiz ataupun pengiktirafan secara sebuah sekolah tahfiz.

Maka, lepas ini sekolah tahfiz tidak ada lagi sekolah-sekolah yang boleh menggunakan nama tahfiz melainkan dia hendaklah melalui satu proses akreditasi di bawah JAKIM bagi mengelakkan salah laku dan penyelarasan dapat dibuat. Jawatankuasa ini di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK) di bawah Majlis Raja-Raja.

“Jadi usaha banyak telah dilakukan dan bengkel-bengkel penerangan dan pencerahan giat diadakan sekarang ini,”ujarnya.

Pondok Masih Belum Diberi Perhatian Sepenuhnya Oleh Kerajaan

Bagaimanapun, sekarang ini nampaknya sistem pendidikan pondok belum diperkasa seperti Pendidikan Tahfiz sama ada dari segi kurikulum, kokurikulum dan khususnya pengiktirafan.

Ujar beliau, saya nampak untuk dasar pendidikan pondok negara, kurikulum secara holistik, pengiktirafan belum dibangunkan sepenuhnya oleh Kerajaan kepada pondok.

Justeru, alangkah baiknya saya mencadangkan sekiranya pondok-pondok ini mereka mempunyai pengiktirafan daripada Kerajaan sepertimana disediakan kepada tahfiz.

“Jadi secara tak langsung kita dapat memantau bukan untuk menyekat tidak sama sekali, bahkan pihak Kerajaan banyak membantu dalam isu ini. Khususnya JAKIM yang mempunyai pakar-pakar.”

“Kalau pendidikan tahfiz, pakar-pakar yang dijemput dari universiti dan Jabatan / Majlis Agama Islam Negeri serta Persatuan Tahfiz turut dijemput menyertai di dalam Jawatankuasa Akreditasi Tahfiz.”

Beliau berkata, sebelum ini pihak Kerajaan menubuhkan satu Jawatankuasa High Level Community Task Force Pendidikan Tahfiz Peringkat Kebangsaan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan dianggotai oleh tujuh menteri lain dan persatuan turut dipanggil sama termasuklah PITAS, Persatuan Madrasah Tahfiz Quran Malaysia (PERMATA Al-Quran) dan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Kebangsaan (PINTA).

“Hanya sekarang ini Timbalan Menteri tidak ada jadi pertemuan itu tidak dilaksanakan lagi buat sementara waktu untuk Kerajaan sekarang ini,” ujarnya.

“Maksud saya adalah pendidikan tahfiz agak advance tapi tidak seperti pemerkasaan pondok yang agak senyap dan perlu diperkemaskan lagi.”

“Menjadi harapan kita agar Kerajaan memperkasakan pendidikan pondok, seperti mana pendidikan tahfiz di Malaysia.”

“Alhamdulilah pendidikan tahfiz ini sudah berkembang di Malaysia, dah diselaraskan dari segi kurikulumnya dan ada model-model tahfiz seperti tahfiz turath, tahfiz kemahiran, tahfiz integrasi ataupun tahfiz bersepadu.”

Menurutnya, model-model ini adalah satu model yang cukup baik yang mana hala tujunya sudah jelas secara tak langsung menjawab persoalan timbul sama ada pelajar tahfiz ini mengambil laluan pantas (Fast Track SPM) atau laluan kemahiran.

Pondok Adalah Khazanah Negara Yang Bernilai Dan Perlu Dipelihara Sebaiknya

Alhamdulillah, sekarang ini sistem pondok di Malaysia sudah ada hala tuju dan pelajar menyambung belajar di bidang agama dalam melahirkan ulama muktabar. Hanya perlu kepada penyelarasan dan pengiktirafan sahaja di peringkat Kerajaan.

Beliau berkata, sekarang ini sebahagian pondok mula beralih kepada pendidikan tahfiz. Pondok sudah mula kurang sebab dulu pondok lebih banyak daripada tahfiz tetapi sekarang tahfiz lebih banyak daripada pondok.

Walhal, kita mempunyai kepakaran guru-guru pondok yang berwibawa seperti di Pantai Timur dan Utara di Kelantan, Terengganu dan Kedah iaitu antara negeri yang sangat banyak pondok-pondok yang sudah boleh dijadikan khazanah negara yang bernilai.

“Hatta ada pengiktirafan-pengiktirafan tertentu seperti Pondok Pasir Tumboh Kota Bharu, Pondok Sungai Durian Kuala Krai dan Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas antara pondok lama dan masih utuh berusia antara 50 – 100 tahun dan banyak melahirkan ramai ulama yang luar biasa hebatnya dan diiktiraf oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK). Jadi perkara inilah yang perlu terus diperkasakan oleh Kerajaan hari ini,” ujarnya mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: