Perjuangkan Kebajikan Pelajar Sekolah, KPM Mahu Buang Cikgu Fadli
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 17 Oktober 2022 – Tular di media sosial berkenaan kes seorang guru yang dikenakan tindakan tatatertib oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang ingin membuangnya dari profesion sebagai seorang guru atau diturunkan pangkat kerana dikatakan berkelakuan melanggar tatakelakuan.
Menurut Encik Mohd Fadli bin Mohamed Salleh @ Salleh, beliau dikenakan tindakan tersebut kerana berlaku jujur dan mengatakan kebenaran namun, sistem pendidikan di negara ini hanya inginkan pujian walaupun ianya penipuan.
Beliau dalam satu hantaran di Facebook berkongsi kebenaran yang diperjuangkan untuk para pelajar adalah mengenai beg berat bahaya kepada anak-anak, silibus tinggi dan padat, bilangan murid yang ramai dalam kelas, subjek yang banyak untuk murid belajar, masa belajar bagi subjek teras terutamanya Matematik tidak mencukupi, dan adanya ‘Little Napoleon’ dalam sistem pendidikan menyebabkan sistem pendidikan kita rosak.
Malangnya, beliau dikatakan perlu menggunakan saluran yang betul dan bukannya di Facebook.
“Jangan sembang saluran yang betul dengan saya. Sebab saya dah luahkan dalam saluran yang paling betul, masa penataran buku silibus baru di PPD di hadapan lebih 30 orang guru Matematik daerah Gombak, pegawai PPD dan pegawai JPN.”
“Sehingga mereka tak mampu berhujah dan menjawab persoalan saya, mereka bawa pegawai BPK dari Putrajaya. Pegawai yang bertanggungjawab membuat silibus baru itu hadir dalam bengkel semata-mata nak menjawab semua persoalan saya.”
“Dan sampai ke sudah saluran paling betul itu langsung tak memberi kesan apa-apa, bahkan makin menyusahkan. Beginilah sistem kita. Sistem yang hanya nak mendengar puja puji walaupun ianya penipuan. Yang pandai membodek, pandai menipu, naik pangkat cepat. Yang menukarkan saya dulu naik pangkat menjadi Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran di JPN sana. Sedangkan saya yang bercakap jujur dan mengatakan kebenaran hendak dibuang kerja,” ujarnya dalam hantaran sama.
Tambah Encik Mohd Fadli, sesiapa jus yang ingin berkata mengenai hal ini didiamkan dengan ugutan tindakan tatatertib dan beliau bukan guru pertama yang menimbulkan isu ini. Berpuluh guru, bahkan beratus guru lain yang pernah persoalkan tentang silibus tinggi, yang jujur beritahu terdapat penipuan dalam data KPM, mereka semua disenyapkan dengan ugutan seperti ini. Maka pakat mendiam semua.
“Apa yang saya perjuangkan ini, tidak ada setitis pun untuk kebaikan diri saya. Semuanya untuk kebaikan generasi dan anak-anak kita. Semuanya demi Malaysia yang lebih baik. Saya ambil risiko dibuang kerja, saya korek tabung simpanan hire lawyer nak fight kes ini sampai akhir.”
“Jika ditakdirkan kes saya ini kalah di mahkamah, saya akan buat rayuan di mahkamah tinggi untuk fight lagi. Kalah lagi, lawan lagi. Kalah lagi, lawan lagi. Biar pun jika ditakdirkan Tuhan saya takkan menang seumur hidup saya, namun anak-anak murid saya boleh berkata dengan bangga, ‘Aku ada seorang cikgu. Cikgu aku yang sanggup berjuang untuk pendidikan kami sampai dibuang kerja. Sampai ke akhir hayat’.”
Mengakhiri kenyataannya dengan memberi peringatan kepada pihak yang terlibat, beliau berkata,
“Penjinak singa hanya mampu membuatkan singa patuh dengan kayu tas dan rotannya. Namun sebaik singa tidak lagi takut akan rotan dan kayu tas itu, penjinaklah harus takut akan singa.”