Perjanjian Persefahaman Kerajaan Perpaduan Tidak Berperlembagaan & Tidak Sah
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 19 Disember 2022 – “Berdasarkan peruntukan dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas yang disebutkan di atas, saya percaya Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani oleh parti-parti gabungan dalam kerajaan pimpinan PH adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah,” demikian menurut Pengerusi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ini kerana, perjanjian ini adalah bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki Ahli-Ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusi hanya apabila mereka melompat parti.
Selain itu, undang-undang anti lompat parti tidak menghalang hak dan kebebasan Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mengundi di Dewan Rakyat kerana mereka mempunyai hak kebebasan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengundi di Dewan Rakyat.
Justeru, tidak ada mana-mana bahagian dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki seorang Ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusinya jika beliau tidak menurut arahan parti dalam pungundian mana-mana usul atau rang undang-undang.
Muhyiddin Yassin juga berpendapat, perjanjian yang tidak berperlembagaan ini menunjukkan seolah-olahnya Perdana Menteri tidak yakin beliau akan mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Seterusnya, sekiranya perjanjian persefahaman yang berunsur kediktatoran (dictatorial) ini dianggap sah, maka tidak mustahil pindaan Perlembagaan yang bertentangan dengan naluri (conscience) Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan nilai masyarakat di negara ini akan diluluskan oleh Dewan Rakyat secara paksa, ujar Muhyiddin Yasin.
Baru-baru ini, Kerajaan Perpaduan telah menandatangani Perjanjian Persefahaman Kerjasama, di mana semua parti yang terlibat dalam untuk membentuk kerajaan gabungan dikehendaki untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul yang berkait dengan usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan.
Menurut bekas Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz, di dalam peruntukan atau undang-undang di Malaysia tidak dinyatakan dengan jelas bahawa setiap Ahli Parlimen boleh diwakili oleh ketua parti atau tidak untuk menyatakan sokongannya.
Tambah beliau, perkara ini masih menjadi persoalan undang-undang yang besar kerana kadang-kadang parti politik itu sendiri menetapkan apa yang perlu dan boleh dilakukan oleh anggota partinya termasuk isu sokongan individu itu sendiri iaitu Ahli Parlimen.