Perjanjian Malaysia 1963 Wajib Dihormati, Dipenuhi – PM
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUCHING, 20 Januari 2023 – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil pendirian bahawa semua perjanjian yang ditandatangani dengan Sabah dan Sarawak, termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus dihormati dan dipenuhi.
Selaku pemimpin nombor satu negara, Anwar berkata, beliau bertanggungjawab memastikan perkara ini diselesaikan dan mengakui dalam mengembalikan hak tersebut, Kerajaan Persekutuan telah melakukan pelbagai usaha termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan.
BACA JUGA: Eksport Minyak Sawit: Malaysia Perlu Tangani Sekatan & Kempen Negatif Eropah
BACA JUGA: Harga Hasil Laut Mahal, Ramai Datang Tanya Tak Jadi Beli
BACA JUGA: Kontroversi Treler “Pulau”: Masyarakat Perlu Penapisan Kendiri – Pensyarah
“Kita perlu cuba selesaikan (isu MA63) secara bersungguh-sungguh dan bukan sekadar menjanjikan slogan politik untuk dapat sokongan daripada Sarawak atau GPS.”
“Apabila kita lihat keadaan pembangunan di Sabah dan Sarawak terutama di kawasan pedalaman, saya tidak boleh nafikan ada tugas yang belum kita sempurnakan dengan baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Negeri di Sarawak, malam Khamis.
Beliau juga berkata, Malaysia merupakan sebuah negara Persekutuan dan semangat perpaduan tidak akan dapat diperoleh sekiranya ada perasaan rakyat yang tergores.
“Tugas pemimpin itu merawat dan bukan untuk menambah luka, sebab itu saya lihat usaha ini sebagai menunaikan satu tanggungjawab.”
Sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November lepas, beliau pada Khamis lalu telah memulakan lawatan kerja sulungnya ke Sarawak selama dua hari.