Perjanjian Keselamatan Maghribi-Israel: Agenda Menyasarkan Algeria
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
RABAT, 12 Ogos 2022 – Agenda perjanjian keselamatan yang dimeterai Maghribi dengan Israel baru-baru ini bertujuan untuk menyasarkan keselamatan dan kedaulatan Algeria yang enggan menerima normalisasi mengabsahkan negara haram tersebut, ujar pemerhati.
Menurut sebuah portal media Algeria, kedua-dua negara itu telah pun membuat persepakatan ke arah mencapai keseimbangan dalam menentang Algeria. Selain itu, kerjasama ini juga akan menjadikan Maghribi sebagai pemimpin serantau di Afrika.
Pusat Penyelidikan Timur Tengah dan Afrika Moshe Dayan pula mengesahkan bahawa Israel sedang berusaha untuk mendekati sempadan Algeria dan hubungan normalisasi yang diwujudkan dengan Maghribi dikaitkan dengan Algeria kerana Tel Aviv menganggapnya sebagai ancaman.
Bukan itu sahaja, mereka turut mendedahkan kegigihan kerajaan Maghribi menormalisasikan jalinan ekonomi dan keselamatan dengan zionis Israel yang sekali gus memberinya kuasa mencapai objektif menembusi rantau Afrika seperti membina pangkalan tentera Israel di Maghribi.
Pada Julai lalu, ketua tentera Israel, Aviv Kohavi telah membuat lawatan rasmi kali pertama ke Maghribi bagi mengukuhkan hubungan ketenteraan, keselamatan dan perisikan antara kedua negara susulan perjanjian normalisasi pada 2020 yang telah ‘memulaukan’ negara jiran Maghribi, Algeria.