Perjanjian 18 Perkara: Semua Parti Terlibat Hendaklah Menyokong PM Dalam Undi Percaya
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 16 Disember 2022 – Semua parti yang terlibat dalam Perjanjian Persefahaman Kerjasama untuk membentuk kerajaan gabungan dikehendaki untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul yang berkait dengan usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan.
Menurut perjanjian tersebut, setiap parti dikehendaki untuk memastikan setiap Ahli Parlimen mereka mengundi berdasarkan klausa tersebut.
Jelasnya, mereka yang gagal, enggan atau cuai dari berbuat sedemikian dikira melanggar tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen secara individu kepada parti yang diwakili mereka.
Pelanggaran itu sekali gus akan menyebabkan mereka diberhentikan daripada menjadi Ahli Parlimen serta kerusi beliau juga akan dikosongkan mengikut kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.
Parti Ahli Parlimen yang bertindak sedemikian juga dikehendaki untuk mengeluarkan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atas pengosongan tersebut.
Memetik kepada Perjanjian Persefahaman Kerjasama itu lagi, kenyataan itu adalah sebagai langkah penguatkuasaan undang-undang anti lompat parti melalui akta-akta secara kumulatif.