Perjalanan Dari Kampung Terus Ke Tempat Kerja Layak Dilindungi Skim PERKESO – Mahkamah Rayuan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 21 September 2022 – Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa seorang pekerja yang dalam perjalanan dari kampung halamannya ke tempat kerja di bandar lain layak bagi tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kerana dianggap membuat “Perjalanan Kerja”.
“Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa akta PERKESO harus ditafsirkan secara meluas dan bebas dalam konteks tanggungjawab sosial korporat membolehkan pekerja membuat perjalanan ke tempat kerja mereka dari kampung halaman ke tempat kerja mereka dari kampung halaman pada hujung minggu,” kata seorang peguam, M Manoharan.
Kenyataan ini dikeluarkannya usai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dianggotai Datuk Vazeer Alam bin Mydin Meera, Dato’ Lee Swee Seng dan Dato’ Mohd Nazlan bin Mohd Ghazali memutuskan bahawa kecederaan yang dialami anak guam M Manoharan, N Sathiaseelan, dalam satu kemalangan dianggap sebagai kecederaan pekerjaan bawah Seksyen 24 (1a), Akta PERKESO 1969, walaupun ia berlaku pada hari cutinya.
N Sathiaseelan, yang bekerja sebagai juruteknik kanan di sebuah syarikat terbabit dalam kemalangan ketika pulang ke tempat kerjanya selepas menghabiskan hujung minggu di rumahnya di Ipoh.
Susulan kemalangan yang membuatkannya mengalami beberapa kecederaan dan kecacatan, beliau memohon tuntutan hilang upaya sementara daripada PERKESO tetapi ditolak.
Menurut PERKESO, tuntutan itu tidak sah kerana kemalangan berlaku dalam perjalanan pada hari cutinya.
N Sathiaseelan kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, yang memutuskan beliau layak membuat tuntutan PERKESO.