Tempatan

Peristiwa Israk & Mikraj Relevan Dengan Semua Konteks Masyarakat

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 17 Februari 2023 – Peristiwa besar yang dikisahkan di dalam al-Quran dan hadis ini tentunya relevan dengan apa jua konteks masyarakat termasuklah Masyarakat Madani,” ujar Wakil Sekretariat Muwasolah Agamawan dan Aktivis Memperkasa Institusi Raja-Raja (MAMPIR), Haji Razali bin Daud.

Menurutnya, Gagasan Madani yang diwar-warkan oleh PM 10 bersifat menyeluruh berdasarkan enam tonggak utamanya iaitu M (kemampanan), A (kesejahteraan), D (Daya cipta), A (hormat), N (keyakinan) dan I (Ihsan). 6 tonggak Madani ini tidak akan terbit dari kupasan teori, kajian akademi, kuliah, wacana atau seminar semata-mata.

Tambahnya, 6 tonggak tersebut akan dianugerahkan Allah setelah pemimpin memandu rakyat bersama menjalani iktibar serta modul kemanusiaan, kehambaan dan ketauhidan yang tersirat dan tersurat dari Israk Mikraj.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana sambutan Israk & Mikraj relevan dalam konteks Masyarakat Madani?

Haji Razali menjelaskan, Epistemologi (falsafah atau hakikat) Israk & Mikraj mesti merujuk kepada Pengarah dan Watak utama Israk Mikraj yakni Allah dan Rasul yang pastinya menghimpun hal Syariat dan Hakikat serta kesepaduan Iman, Islam dan Ihsan.

Justeru, pentafsiran dan pencerahan kisahnya mesti dari sumber muktabar melalui sanad periwayatan yang sahih bukannya dari sumber pengkajian orientalis atau sarjana yang tidak bersambung sanad keilmuannya dengan Baginda Rasul atau Salafussoleh dari Ahlul Sunnah wal Jamaah,” ujarnya.

Ditanya apakah signifikan peristiwa Israk Mikraj sebagai panduan dan amalan rakyat Malaysia?

Beliau berkata, Israk & Mikraj adalah peristiwa yang melibatkan pengalaman roh dan jasad Baginda Rasulullah SAW yang ” diperjalankan ” oleh Allah SWT merentas wilayah, bangsa, zaman dan alam zahir dan ghaib. Ia juga merupakan modul teladan pembinaan Insan Kamil atau hamba dan khalifah Allah yang sempurna di dunia.

Merujuk lebih terperinci pandangan, Sheikh Amin Al-Syanqiti ada menyebut bahawa Allah menjadikan apa yang diperlihatkan kepada Nabi SAW daripada perkara dan peristiwa yang pelik dan ajaib pada malam Israk dan Mikraj adalah sebagai satu ujian kepada orang ramai.

Ini kerana, ada di antara yang tidak langsung mempercayai apa yang dikhabarkan oleh Nabi SAW. Ada yang mengatakan bahawa ianya tidak mungkin berlaku. Mereka mengatakan juga bagaimana mungkin Baginda SAW solat di Baitul Maqdis dan pergi ke tujuh tingkatan langit serta melihat keseluruhannya pada satu malam sahaja kemudian pada waktu pagi berada di Mekah. Inilah satu ujian kepada mereka yang ragu-ragu. (Rujuk Adwa’ Al-Bayan Fi Idhah Al-Quran Bi Al-Quran, 3/236).

Jelas Haji Razali, Metodologi (kaedah atau proses) sambutan juga mesti menepati epistimologinya yang meliputi aspek kecerdasan dan pembinaan SQ ( Spiritual Quotient), EQ (Emotional Quotient), IQ ( Intellectual Quotient ) dan PQ ( Physical Quotient).

“Penganugerahan ibadah Solat di malam Israk Mikraj adalah suatu model interaksi Cinta rohani, emosi, akal dan jasad kepada Allah SWT dan kesan kasih sayang kepada sesama makhluk,” ujarnya.

Justeru, semua ini memerlukan penghayatan holistik Israk Mikraj dan praktis secara amali seluruh modul asuhan yang dicerap dari semua peristiwanya supaya membawa perubahan baik pada individu, komuniti dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya mengakhiri perbualan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: