Perisik Israel Intai, Ugut Pendakwaraya ICC – Media
RABU, 29 Mei 2024 – Media The Guardian telah mengeluarkan kenyataan mendakwa bahawa mantan ketua agensi perisikan Israel, Yossi Cohen telah “mengugut” ketua pendakwa raya bagi badan kehakiman antarabangsa, International Criminal Court (ICC) untuk menggugurkan penyiasatan yang bermula pada tahun 2021 berkenaan jenayah perang.
Kenyataan yang telah dikeluarkan oleh media tersebut pada Selasa lalu telah memetik maklumat daripada sumber mereka yang menyatakan bahawa beberapa tahun lalu, Cohen telah membuat percubaan untuk mengugut mantan pendakwa raya ICC, Fatou Bensouda sewaktu dalam beberapa siri mesyuarat rahsia.
Menurut media yang sama, yang mengambil maklumat daripada beberapa sumber yang tidak didedahkan, tindakan Cohen itu telah memberi kesan terhadap keputusan yang dibuat Bensouda dalam memulakan sebuah penyiasatan formal berkenaan jenayah perang serta jenayah kemanusian yang berlaku di wilayah Palestin.
Menurut artikel tersebut, objektif agensi perisikan Israel, Mossad dalam hal ini adalah untuk “berkompromi dengan pendakwa raya atau menyenaraikannya sebagai seseorang yang boleh bekerjasama dengan tuntutan-tuntutan Israel”.
Bensouda dilaporkan sudah membuat makluman terhadap sekumpulan kecil individu-individu senior yang berada di dalam ICC berkenaan tindakan Cohen terhadapnya.
Media yang sama juga turut mendedahkan bahawa agensi-agensi perisikan Israel telah menjalankan “peperangan” tersembunyi menentang ICC sejak hampir 10 tahun yang lalu dengan tujuan untuk menggugurkan siri penyiasatan tentang jenayah perang yang dilakukan oleh rejim haram itu.