PERINGATAN: Hujan, Ribut Petir Dijangka Berlaku Selama Tiga Hari Bermula Hari Ini
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 16 Disember 2022 – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir akan melanda kebanyakan tempat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad.
METMalaysia dalam kenyataannya, memaklumkan pagi ini hujan berlaku di beberapa tempat di Terengganu, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah manakala cuaca mendung di Pahang.
Pada sebelah petang, ribut petir diramalkan membadai beberapa tempat di pedalaman Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Sarawak (Miri dan Limbang) dan Sabah (pedalaman Pantai Barat, Tawau, Sandakan, Kudat dan Labuan).
Sementara pada waktu malam, Pahang, pedalaman Sabah dan Labuan sahaja diramalkan ribut petir, manakala lain-lain tempat dijangka berlaku hujan.
Walau bagaimanapun, bagi Perlis, Kedah, Sabah (Kudat) dan sebahagian besar kawasan di Sarawak dijangka tidak menerima hujan.
Seterusnya pada Sabtu, METMalaysia turut menjangkakan hujan pada waktu pagi di negeri-negeri Pantai Timur, Johor, Sarawak (Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit dan Bintulu) dan Sabah (Tawau, Sandakan, Kudat dan Labuan).
Pada sebelah petang pula, seluruh Malaysia dijangka dibadai ribut petir kecuali Kelantan, Terengganu, Pahang, Kudat dan Sandakan yang diramalkan menerima hujan.
Namun, keadaan mereda pada sebelah malam di seluruh Malaysia kecuali di pedalaman Sabah dan Labuan yang masih dibadai petir.
Pada hari Ahad, hujan dijangka melanda seluruh Malaysia kecuali Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Sarawak (Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Miri dan Limbang), manakala ribut petir di Sabah (Kudat dan Sandakan).
Bagi petang pula, seluruh Malaysia diramal dibadai ribut petir kecuali Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah (Kudat).
Pada sebelah malam, ribut petir mereda di semua kawasan dan diramalkan hujan turun kecuali di Sarawak (Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman dan Betong) dan Pantai Barat Sabah.