Tempatan

Perhimpunan Bantah Pembinaan Sekolah Cina Ke-7 Bandar Kinrara Selasa Depan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

PUCHONG, 16 Oktober 2021 – Kira-kira 1,000 penduduk Bandar Kinrara, Puchong, Selangor akan hadir dalam perhimpunan bantahan bagi mendesak pihak yang terlibat dalam isu penukaran status tapak Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) kepada Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) di Jalan 5B Bandar Kinrara, maklum Pengerusi Persatuan Penduduk BK5B Bandar Kinrara, Haji Mohamad Haron Bin Haji Mohamad Sidik.

Perhimpunan Besar-Besaran Rakyat Menolak Pembinaan Sekolah Cina Ke-7 itu juga bakal menyaksikan Bandar Kinrara dipenuhi dengan kehadiran tokoh-tokoh dan pejuang-pejuang serta aktivis-aktivis kebangsaan yang akan mendesak kerajaan untuk menghentikan segera pembinaan sekolah SJKC di atas tapak asalnya milik Sekolah Kebangsaan (SK).

Kata Haji Mohamad Haron, mungkin di sinilah permulaan sejarah kalau kita hendak tengok kebangkitan semula pejuang-pejuang Melayu yang akan bersatu untuk tidak lagi tunduk kepada tangan-tangan ghaib yang cuba memonopoli negara ini sesuka hati mereka tanpa mempedulikan Perlembagaan Negara.

“Bagi saya, saya sayang India, Melayu, Cina, Punjabi, Nasrani, Suku kaum Asli, Iban dan sebagainya. Kita ini rakyat Malaysia. Inilah tumpah darah kita.”

“Kita pun bukan boleh balik ke negara asal datuk nenek kita dulu. Sinilah tempat kita lahir, besar dan mati. Jadi kita perlu pupuk semangat Malaysia di hati anak-anak kita.”

“Apa yang pasti, selagi mampu kita akan tetap lawan. Jangan esok-esok anak cucu kita cakap kita tak buat apa-apa. Semoga Allah lindungi kita selalu,” ujar beliau.

Apabila ditanya mengenai perkembangan terbaharu kes bantahan tapak SK tukar jadi SJKC itu, beliau berkata, setakat ini masih tidak ada pihak yang berani tampil bersemuka dan memberi penjelasan mengapa status asal tanah SK tersebut ditukar secara senyap-senyap kepada SJKC ketika musim PKP lalu.

“Percayalah, sampai kiamat pun perpaduan kaum sukar dicapai kalau sekolah vernakular terus dibina,” kata Haji Mohamad Haron.

Tambahnya, jika dari kecil lagi kita pisah-pisahkan anak-anak ini dengan terus menghalalkan kewujudan dwi-sistem pembelajaran yang jelas bertentangan dengan Sistem Pelajaran Kebangsaan, maka matlamat itu akan semakin kabur.

“Suka saya nak ingatkan, kita sekarang bukannya pertikai pembinaan sekolah tetapi buat apa dibina lagi sekolah vernakular?”

Kata beliau lagi, mengikut pecahan kaum, Bandar Kinrara dihuni oleh 45 peratus Melayu, 35 peratus Cina, 15 peratus India dan lain-lain kaum 5 peratus.

“Langsung tidak relevan untuk mewujudkan sekolah SJKC yang ke-7 di kawasan minoriti orang Cina berbanding hanya ada 3 buah Sekolah Rendah Kebangsaan yang dihuni majoriti penduduk Melayu, di sini.”

Justeru, tidak ada keperluan langsung untuk diwujudkan lagi sekolah SJKC memandangkan bukan sahaja orang Melayu yang tidak bersetuju bahkan ada juga penduduk setempat dari kaum Cina dan India juga tidak bersetuju dan turut berasa hairan dengan tindakan penukaran status tanah yang berlaku secara drastik ini.

“Kita mahu pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ambil maklum dan turun padang segera sebelum isu ini menjadi lebih serius.”

Ujarnya lagi, agensi-agensi yang terlibat dan yang bertanggungjawab juga perlu segera turun padang, tampil dan bertindak segera bagi menyelesaikan isu ini.

Untuk makluman semua, Mesyuarat dan Sidang Media Bantahan SJKC Too Joon Hing BK5B ini akan diadakan pada 19 Oktober 2021, hari Selasa, jam 10 pagi bertempat di Pejabat Urusan Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, No.G-2-2, Blok G, Pangsapuri Enggang, Jalan Kinrara 6F, Bandar Kinrara, Puchong.

Hari Selasa itu jatuh pada hari cuti umum sempena Sambutan Maulidur Rasul bersamaan 12 Rabiulawal 1443 Hijrah.

“Kita Bersatu Demi Allah, kita pertahankan hak kita, kita mahu Sekolah Kebangsaan untuk semua kaum. Malaysia aman dan damai tanpa sekolah vernakular.”

“Jom pertahankan maruah kita, jangan harap orang lain, anda juga perlu berkorban bersama-sama,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button