Tempatan

Perhambaan Moden Rider P Hailing?

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 03 Disember 2021 – Melihat kepada kemuncak komen-komen yang dimuatkan di dalam beberapa FB Page melibatkan perkhidmatan P Hailing, pihak samudera.my menjejak beberapa rider dan mendapatkan pandangan dari wakil persatuan P Hailing untuk menyelami permasalahan yang berlaku.

Dalam pertemuan yang dibuat, pihak kami mendapati terdapat beberapa isu yang menjadi punca ketidakpuasan hati para rider yang merasakan diri mereka seolah-olah ditindas oleh sistem yang tidak mempunyai bentuk kawal selia dan malah tidak mendapat perhatian oleh pihak mana-mana kementerian di dalam kerajaan.

Kadar Upah Penghantaran Pesanan Rider Dipotong Mengikut Suka Hati

Antara perkara yang dibangkitkan ialah sistem pembayaran komisen rider yang diubah dengan kerap dan kebanyakan kali daripadanya menyebabkan kadar upah komisen mereka dikurangkan tanpa sebarang perbincangan.

“Abang bayangkan, sebelum ini, untuk mendapatkan kadar upah purata RM120 sehari, kami perlu melengkapkan antara purata 20 pesanan sehari. Tapi dengan sistem komisen yang semakin hari semakin dikurangkan, susah untuk kami capai kadar yang dinikmati sebelum ini,” salah seorang rider yang kami temui membangkitkan tentang hal kadar upah yang selalu diubah sehingga ke peringkat mereka merasakan tertindas.

Peta Digital Yang Tidak Mengikut Jarak Sebenar Dalam Google Maps Atau Pun Waze

“Jarak dalam apps yang digunakan sekarang ialah jarak pembaris. Ini telah menyebabkan pendapatan rider terjejas sebab tak mendapat jarak sebenar. Bayangkan jalan berliku-liku penuh simpang dan tidak lurus, tapi dalam apps, jarak pakai jarak pembaris. Lurus. Kami naik motor bang, bukan naik helikopter hantar makan.”

“Sebab jarak macam ni, timing kami out. Sebab tu ramai yang langgar lampu merah bang. Kalau lambat sampai kami kena penalti. Ada juga pelanggan yang bising sebab order lambat sampai sedangkan jarak di dalam aplikasi tidak sama dengan jarak yang sebenar.”

Penggantungan & Penamatan ID Rider Yang Jelas Tidak Adil

Salah satu isu yang dibangkitkan oleh rider lain yang kami temui, mereka membangkitkan isu penggantungan dan penamatan ID Rider atas rungutan pelanggan tanpa mereka diberikan ruang untuk membela diri.

“Kalau penghantar dapat komplen dari customer, kebanyakan keadaan, ID rider kena gantung. Kami tak diberikan ruang untuk buat apa-apa penjelasan atau bela diri. Bagi saya ini satu bentuk penindasan,” jelas seorang penghantar P Hailing yang tidak mahu identitinya dikongsi.

Apps Glitch, Penghantar Dipenalti

Apps Glitch.. masuk order, sistem glitch order tak masuk, kami pulak kena break penalty,” komen salah seorang lagi rider sambil disambut oleh persetujuan beberapa rakannya.

Berhenti Solat, KPI Jatuh

“Kalau kami request break untuk solat, KPI kami dijatuhkan. Ini negara Islam. Takkan penghantar makanan macam kami, bila nak solat, request break, KPI kami jatuh. Ini bukan satu perkara terpencil. Mungkin untuk sesetengah pihak, ini bukan isu besar. Tapi bagi kami yang mahu menjaga solat, kami rasakan ini satu tindakan yang tidak hormat dan berunsur diskriminasi kepada kami.”

Tolak Ambil Pesan Babi, KPI Jatuh

“Ada juga isu riders beragama Islam yang mendapat pesanan yang jelas tidak halal seperti pork soup, tetapi apabila hendak menolak pesanan tersebut, dibenarkan, tetapi KPI kerja juga akan terjejas. Di mana hak kami sebagai penghantar beragama Islam?”

Maklum balas yang pihak samudera.my terima ini menyebabkan kami berasa terkejut dengan layanan yang diberikan kepada penghantar-penghantar P Hailing.

Maklum Balas Persatuan P Hailing

Kami menghubungi Persatuan Penghantar P Hailing (PENGHANTAR) untuk mendapatkan penjelasan dan membuat semakan tentang aduan yang berlaku.

Timbalan Presiden PENGHANTAR, Abdul Hakim Bin Abdul Rani menjelaskan, apa yang menjadi sungutan tersebut merupakan perkara yang persatuan beliau terima dari rakan-rakan penghantar P Hailing saban hari.

Beliau membangkitkan beberapa keadaan mengenai SOP di mana syarikat penyelia seolah-olah mengikat rakan-rakan penghantar mereka seperti mereka bekerja tetap dengan syarikat penyelia. Sedangkan mereka ini pekerja ekonomi gig yang mana seharusnya mereka menikmati satu bentuk pekerjaan yang fleksibel.

Beliau menjelaskan, rakan-rakan penghantar tidak mendapat hak yang penuh.

“Terdapat syarikat penyelia yang menyediakan faedah insurans kemalangan, tetapi banyak rungutan yang diterima, apabila ingin membuat tuntutan, tuntutan tersebut tersebut tidak diluluskan. Kami juga tidak diberikan salinan polisi untuk rujukan.”

“Kami juga tidak diberikan salinan hard copy kontrak pekerjaan. Ini menyebabkan apabila sesuatu isu berlaku, sukar untuk kami melaporkan perkara ini kepada pihak berwajib. Jika ikut dari perundangan, syarikat perlu memberikan salinan kontrak, selagi mana pekerjaan kami membawa keuntungan kepada syarikat,” jelas Abdul Hakim.

Rungutan paling besar yang pihak kami terima ialah keadaan syarikat-syarikat penyelia yang mengubah SOP dengan kerap dan semakin lama, semakan polisi yang dibuat merugikan penghantar makanan sendiri.

“Saudara bayangkan, kami merasakan kami ini tidak dilayan dengan cara yang sepatutnya. Pihak kerajaan juga masih belum serius untuk mendengar dan memperbaiki keadaan. Kami tuntut beberapa perkara terutamanya mengenai satu bentuk piawai dan kawal selia kadar upah, hak dan kebajikan, tetapi masih belum diberikan perhatian untuk tindakan yang sepatutnya.”

“Enam buah negara luar sudah mula memperbaiki hak dan kebajikan penghantar-penghantar P Hailing. Tetapi kita masih perlahan.”

Abdul Hakim yang berbual panjang dengan kami turut mendedahkan beberapa perkara serius dalam sistem penghantaran P Hailing ini.

“Kami berusaha keras supaya kebajikan penghantar-penghantar P Hailing ini diberikan fokus dan hak-hak sepatutnya. Kami akan terus berusaha melalui semua saluran yang kami boleh perjuangkan supaya isu-isu ini dapat ditangani dengan baik. Ada sedikit sebanyak perubahan positif, tetapi ia masih belum cukup untuk memperbaiki keadaan sedia ada.”

Esok kami akan terbitkan sambungan kepada isu hak dan kebajikan ekonomi gig P Hailing.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: