NGO

PERDANA MENTERI KE-9 MESTI TERUSKAN TPB2030 – DPMM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

1. Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DEWAN MELAYU) berharap supaya mana-mana calon yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 agar segera menyatakan komitmen untuk meneruskan agenda Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang sudah memasuki fasa akhir pembangunannya sebelum dilancarkan tahun ini.

2. Semenjak sekian lama, kaum Bumiputera tidak mempunyai pelan tindakan (blueprint) pembangunan ekonomi yang lebih terancang dan berstruktur, yang dapat dijadikan dokumen utama kepada apa jua pembentukan dasar, polisi, perancangan ekonomi mahupun belanjawan. TPB2030 adalah jawapan kepada permasalahan tersebut, yang akan sentiasa mendahulukan agenda Bumiputera sebagai satu agenda nasional yang wajib dijayakan.

3. Jurang ekonomi serta kekayaan antara kaum masih berada pada tahap yang amat membimbangkan. Selagi pegangan ekonomi berteraskan kaum ini terus dibiarkan membarah, maka selagi itulah matlamat untuk membentuk negara bangsa yang progresif, saksama dan makmur sebagaimana yang dicita-citakan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 tidak akan dicapai.

4. Keunikan TPB2030 terletak pada matlamat yang jelas dan boleh diukur, yang antara lain menggariskan tujuh aktiviti ekonomi utama atau KEGA yang mampu dikuasai Bumiputera, serta dapat menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sektor strategik dan bernilai tinggi seperti ekonomi digital, halal hub dan perbankan Islam digital harus digembeling selain daripada sektor tradisi yang akan dipermodenkan seperti pertanian pintar dan logistik.

5. Perdana Menteri yang akan dilantik bersama-sama dengan pasukan kabinet yang akan diumumkan perlu menyokong TPB2030 terutamanya dalam mendepani situasi ekonomi pasca imuniti kelompok yang bakal dicapai menjelang akhir Oktober tahun ini. Kerajaan sudah tidak punya banyak masa untuk merangka semula agenda Bumiputera yang baharu, membentuk makmal-makmal serta menganjurkan kongres-kongres ekonomi yang dikitar semula. Kita sudah memiliki hasil kajian perbagai serta data-data yang diperlukan untuk menggerakkan kerja dengan seberapa segera. Kita tidak perlu “reinvent the wheel” lagi.

6. TPB2030 yang bersifat dokumen terbuka ini sudah tentu akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi membentuk satu pelan tindakan ekonomi yang benar-benar komprehensif, meliputi setiap sektor ekonomi dan para pemegang taruh Melayu-Bumiputera.

7. DEWAN MELAYU yang menganggotai Jawatankuasa Pemandu Majlis Kemakmuran Bumiputera yang secara tradisinya dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia sentiasa komited untuk bersama-sama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) selaku Sekretariat dan Agensi Utama dalam membangunkan Data Raya Usahawan serta melaksanakan kajian-kajian dengan objektif mengimbangi kekayaan ekonomi antara kaum menjelang 2030.

8. Bagi mencapai maksud tersebut, DEWAN MELAYU sentiasa berdoa agar Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan kebijaksanaan serta pengalaman yang Baginda miliki dapat memilih pemimpin Melayu yang benar-benar berjiwa besar, adil, bersih, dan patriotik.

Sekian, terima kasih

ABDUL HALIM BIN HUSIN
PRESIDEN

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia telah ditubuhkan pada 1957 di bawah nama ‘Gabongan Dewan-Dewan Perniagaan Melayu Se Malaya (GDPMM)’. DPMM merupakan salah satu NGO di bawah Gabungan MTEM.

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: