Tempatan

PERCEPATKAN PROGRAM IMUNISASI NASIONAL DENGAN MEMBERI PELUANG KEPADA HOSPITAL SWASTA UNTUK LAKSANAKAN

Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa Kerajaan Malaysia memberi peluang kepada hospital atau klinik swasta yang diiktiraf oleh KKM melaksanakan program imunisasi nasional bersama-sama pihak KKM.

Dengan membenarkan hospital swasta melaksanakan program imunisasi ini dapat mempercepatkan lagi program imunisasi nasional sekaligus dapat melindungi rakyat Malaysia dengan lebih cepat tanpa menunggu giliran yang lama. MATA percaya bagi rakyat Malaysia yang mampu mereka akan memilih hospital swasta untuk program imunisasi mereka dan sekaligus Kerajaan Malaysia dapat menjimatkan kos pembayaran vaksin Covid-19.

Ini dapat mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara terutamanya sektor pelancongan yang hampir terkubur akibat pandemik Covid-19. Sektor pelancongan telah menyumbang RM89.4 billion pada tahun 2019 serta menyumbang 15.2% kepada KDNK.

Bila semua rakyat Malaysia telah divaksinkan, saya percaya sektor pelancongan akan kembali aktif dengan kedatangan pelancong luar ke Malaysia serta rakyat Malaysia boleh melancong ke luar negara. Kita mesti ingat sektor pelancongan adalah sektor dua hala iaitu inbound dan outbound.

MATA yakin dengan mempercepatkan program imunisasi negara, industri penerbangan, agensi pelancongan, hotel, restoran, taman tema, syarikat pertukaran mata wang, kedai cenderahati serta sektor bersangkutan dengan pelancongan akan mendapat manfaat dan kembali beroperasi seperti biasa. MATA juga yakin semua pemain industri pelancongan akan bersetuju dengan gesaan ini.

MATA juga menggesa Kerajaan Malaysia mengkaji semula rentas negeri bagi menggalakkan industri pelancongan domestik bernafas kembali setelah lebih 2 bulan pelancongan domestik ini sepi.

Ahli-ahli kami yang berada di pulau-pulau peranginan seperti di Pulau Langkawi, Pulau Redang, Pulau Tioman dan pulau-pulau peranginan yang lain, hanya bergantung sepenuhnya melalui pelancong domestik terutamanya dari Lembah Klang, Buat masa ini mereka tidak mempunyai sebarang pendapatan yang dapat membantu mereka dalam mendepani kelangsungan hidup.

Dato’ Mohd Khalid Harun
Presiden
012 2862121

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button