Perbuatan Bakar Al Quran Adalah Jenayah Yang Tidak Bertamadun – Pengerusi PEMBELA
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KECAM ‘DOUBLE STANDARD’ KERAJAAN SWEDEN, LANGKAH TEGAS PERLU DIAMBIL OLEH UMAT ISLAM DAN KERAJAAN MALAYSIA
1. PEMBELA yang mewakili gabungan lebih daripada 50 NGO Islam membangkitkan bantahan tegas terhadap tindakan membakar kitab suci al Quran oleh ahli politik Haluan Kanan, Rasmus Paludan dan sikap ‘double standard’ kerajaan Sweden dalam mengekang tindakan-tindakan Islamofobia.
2. Kami ingin menyaran agar Kerajaan Malaysia untuk mengambil langkah yang lebih tegas dengan tekanan-tekanan diplomatik yang wajar agar kerajaan Sweden mengambil tindakan serius terhadap golongan ekstrimis yang mengundang suasana tegang dan kebencian antara agama.
3. Kami menyokong semua usaha tegas termasuk kempen boikot, pelupusan kepentingan (divestment) dan sekatan ke atas semua produk ekonomi berkepentingan Sweden termasuk tindakan undang-undang yang dibenarkan untuk memastikan hasrat bantahan ini sampai ke sasaran.
4. Kami berpandangan bahawa ini bukan soal kebebasan bersuara tetapi perbuatan jenayah tidak bertamadun yang berselindung di sebalik hak asasi manusia. Sebagai salah sebuah negara maju, Sweden sepatutnya lebih arif dalam perkara ini dan berupaya untuk mencegah dari perkara ini berulang.
5. Kami akan menggerakkan ahli-ahli kami untuk bersolidariti dengan NGO-NGO Islam lain, dalam menyampaikan memorandum bantahan kepada kedutaan Sweden pada Jumaat ini, 27 Januari 2023.
6. Kami menggesa seluruh umat Islam untuk bersama dalam usaha ini supaya keadilan dalam menegakkan prinsip-prinsip asas hak asasi manusia tidak dicemari dengan elemen-elemen tindakan ‘double standard’ dan kebencian melampau seperti yang berlaku di Sweden ini dibiarkan oleh pihak pemerintah.
Mahmud Hishamuddin
Pengerusi PEMBELA
Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my