Tempatan

Peraturan Baharu Konsert Artis Antarabangsa Akan Diperkenalkan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 12 September 2022 – Pusat Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia kini sedang memuktamadkan keputusan Kerajaan yang bakal memperkenalkan peraturan baru melibatkan persembahan konsert artis antarabangsa di pentas Malaysia.

Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Seri Mohammad Mentek memaklumkan bahawa garis panduan yang dikemas kini itu akan mengambil kira semua sensitiviti masyarakat Malaysia.

“Kami sebenarnya telah menyediakan garis panduan baharu itu sejak 2019 untuk menjadikannya lebih relevan dengan keperluan industri semasa untuk mengikuti perkembangan situasi dan trend terkini,” ujar beliau pada sebuah portal berita tempatan.

Kini, semua konsert dalam Malaysia yang melibatkan artis luar negara mestilah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan PUSPAL di mana ia termasuk dalam syarat buat penganjur dan kod etika penghibur, khususnya cara mereka berpakaian dan berkelakuan di atas pentas.

Hal ini susulan daripada isu konsert artis luar yang menjadi tumpuan apabila Pemuda PAS menggesa pihak Kerajaan membatalkan semua konsert akan datang yang menampilkan artis antarabangsa atau mereka akan mengadakan bantahan dengan mendakwa acara sebegitu menggalakkan hedonisme.

Dalam usaha mempermudahkan proses permohonan, Mohammad Mentek menjelaskan, sistem baharu yang sedang dibangunkan PUSPAL itu akan mengendalikan proses permohonan permit persembahan artis dan krew penggambaran filem warga asing dan ia dijangka siap pada hujung tahun 2023.

“Sistem ini akan dapat mengendalikan keseluruhan proses permohonan untuk penggambaran dan persembahan luar negara dari peringkat awal perancangan sehingga tamat,” jelas beliau.

Kementerian itu juga sedang menghasilkan buku panduan aplikasi untuk diedarkan ke seluruh dunia bagi membantu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan penggambaran dan konsert.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: