Perancis Luluskan RUU Pantau Islam Dan Muslim
PARIS – Muslim Perancis menyatakan kegusaran mereka setelah Dewan Perwakilan Perancis meluluskan satu rang undang-undang membenarkan pemantauan ketat di masjid, sekolah dan kelab sukan.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron mendakwa bahawa Rang Undang-Undang “Mendukung Kehormatan Prinsip-Prinsip Republik” diluluskan bagi melindungi Perancis daripada kumpulan radikal Islam.
Rang undang-undang ini dibantah oleh sebahagian Muslim, penggubal undang-undang dan mereka yang lain yang menyifatkan RUU ini sebagai menceroboh kebebasan beragama serta menuduh Islam, agama nombor dua di negara itu sebagai radikal secara umum.
Salah satu seksyen di bawah RUU ini adalah Undang-Undang Paty yang secara langsung menjadikannya kesalahan jenayah dengan membahayakan nyawa seseorang apabila kehidupan peribadi dan lokasi seseorang itu didedahkan.
Undang-undang ini diberi nama bersempena dengan nama Samuel Paty, seorang guru yang dipenggal kepalanya setelah menghina Nabi Muhammad S.A.W menggunakan alasan kebebasan berpendapat.
Walaupun sebahagian Muslim menentang RUU ini namun, Ketua Yayasan Islam Perancis, sebuah badan sekular yang memperjuangkan Islam progresif, Ghaleb Bencheikh menyatakan bahawa RUU ini “tidak adil tetapi diperlukan” bagi memerangi radikalisasi.
RUU ini memperuntukkan pengharaman sijil dara, membanteras poligami dan perkahwinan paksa.
Selain itu, RUU ini juga memastikan kanak-kanak menghadiri sekolah seawal usia 3 tahun, salah satu cara mengekang kanak-kanak dari belajar di rumah di mana ideologi diajarkan, dan menyediakan latihan sekularisme kepada semua penjawat awam.
Pengkritik menegaskan bahawa peruntukan tersebut sudah wujud dalam undang-undang sedia ada.