Antarabangsa

Perancis Kecam Menteri Rejim Israel Berhubung Penempatan Haram

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PERANCIS, 28 Februari 2024 – Perancis mengecam sekeras-kerasnya kenyataan oleh Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich yang menggesa agar rancangan untuk membina 3, 300 unit penempatan haram di beberapa kawasan di Tebing Barat diluluskan, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Perancis.

Perancis yang menyifatkan perkara tersebut sebagai sesuatu yang ‘tidak boleh diterima’ itu turut mengulangi kecamannya terhadap dasar penempatan yang mana ia menyalahi undang-undang di bawah undang-undang antarabangsa.

Perancis justeru menyeru pihak berkuasa rejim Israel untuk menahan diri daripada sebarang projek untuk mewujudkan atau meluaskan penempatan di Wilayah Pendudukan Palestin.

“Seperti yang ditekankan oleh Perancis semasa kenyataan lisannya yang disampaikan pada 21 Februari di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa semasa prosiding pendengaran awam mengenai Akibat Undang-Undang yang Timbul daripada Dasar dan Amalan Israel di Wilayah Pendudukan Israel, aktiviti penempatan adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan harus dihentikan.”

Kenyataan sama berkata, aktiviti penempatan yang berterusan tidak selari dengan penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaya maju dan bersebelahan.

Tambahnya, ia juga menjadi penghalang utama kepada perdamaian yang berkekalan di mana dasar tersebut juga merupakan punca keganasan dan ketegangan yang berlaku.

Terdahulu, laporan melaporkan bahawa pihak berkuasa rejim Israel merancang untuk membangunkan lebih 3,300 unit penempatan haram di Tebing Barat.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: