Perancis Benarkan Warga Emas 75 tahun Divaksin Dengan AstraZeneca Dan Pfizer-BioNtech Sahaja
PARIS – Perancis kini membenarkan penduduknya yang berumur 75 tahun ke bawah dan mempunyai masalah kesihatan untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca dan Pfizer-BioNtech.
Ini selepas satu kajian yang dijalankan di Scotland dan Badan Kesihatan Awam England menunjukkan, suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNtech dan Oxford-AstraZeneca sangat berkesan dalam mencegah jangkitan yang sangat teruk.
“Apabila hasil keputusan suntikan kedua-dua jenis vaksin ini digabungkan, keputusan mendapati, di antara mereka yang berusia 80 tahun dan ke atas – salah satu kumpulan yang paling tinggi risiko mendapat jangkitan Covid-19, vaksinasi dikaitkan dengan 81% risiko untuk tidak masuk ke hospital (kerana dijangkiti koronavirus), empat minggu selepas dos pertama suntikan.”
“Ini adalah hasil keputusan yang luar biasa yang membolehkan kita maju ke hadapan,” ujar Dominique Le Guludec, Ketua Haute Autorite de la Sante (HAS) yang merupakan badan penasihat tertinggi negara.
Menurut Ketua Menteri Kesihatan Perancis, Oliver Veran pula, keputusan menaikkan had umur vaksinasi akan membolehkan seramai 2.5 juta penduduk divaksin dalam minggu yang akan datang.
Presiden Perancis Emmanuel Macaron sebelum ini menempelak keberkesanan vaksin Covid-19 AstraZeneca ke atas individu berusia 65 tahun ke atas selepas dapatan awal mendapati bahawa vaksin AstraZeneca tidak efektif untuk orang yang berusia lebih 65 tahun.
Semalam, Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-354 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan pendaftaran bersyarat bagi vaksin AstraZeneca, vaksin Sinovac, dan vaksin Comirnaty.
Kelulusan bersyarat bermakna syarikat pemegang pendaftaran bagi vaksin berkenaan perlu mengemukakan analisis data tambahan dan terkini secara “rolling submission” untuk dinilai Bahagian Regulatori Farmasi Negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan, ia bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan vaksin sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) vaksin ini kekal positif.