Perak Pertahankan NR-REE Sebagai Hak Negeri
IPOH, 11 Julai 2024 – Sumber hasil bumi seperti nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Perak adalah hak negeri yang mana akan dikendalikan sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dalam beberapa mesyuarat dengan peringkat Kerajaan Pusat, Perak telah menyatakan pendirian tersebut sebagaimana kerajaan negeri-negeri lain.
Tegasnya, kerajaan Perak tidak mahu ia dikendalikan oleh pihak lain sepertimana Petronas dalam hal petroleum bagi memastikan hasilnya dinikmati rakyat Perak.
Bagaimanapun, Kerajaan Pusat masih boleh bertindak sebagai penyelaras untuk menjayakan aktiviti yang berkaitan dengan pengeluaran hasil bumi tersebut.
“Semua aktiviti yang berkaitan dengan pengekstrakan adalah hak kerajaan negeri. Kita bermati-matian mempertahannya,” katanya semasa menjawab soalan Razman Zakarian (Pas-Gunung Semanggol) berhubung hak NR-REE Perak dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Selasa.
Saarani menyatakan komitmen terhadap NRREE dengan mewujudkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan yang menggabungkan kepakaran tempatan dan antarabangsa untuk menjadi hab penyelidikan, inovasi serta pembangunan teknologi berkaitan nadir bumi.
“Kerajaan negeri telah memulakan projek perintis perlombongan NR-REE di mukim Kenering, Daerah Hulu Perak. Projek ini membuktikan kebolehlaksanaan perlombongan NR-REE tanpa implikasi negatif, seperti yang disahkan melalui audit oleh Jabatan Mineral dan Geosains Perak.”
“Kejayaan ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri terhadap perlombongan yang mampan dan mematuhi prosedur operasi seragam (SOP) ketat,” katanya.
Beliau juga menjelaskan komitmen negeri dengan pembangunan makmal analisis mineral, Terra Mineral Lab (TML) yang memberi nilai tambah kepada industri perlombongan NR-REE dan mineral lain.
Katanya, bagi pembukaan makmal tersebut, seramai 15 pekerja diambil dengan dua ahli kimia kanan daripada universiti tempatan dan 13 graduan sebagai pembantu ahli kimia serta kakitangan sokongan.
“Pada masa akan datang, bilangan pekerja bertambah berdasarkan jangkaan bilangan analisis yang perlu dilakukan dari masa ke semasa. Semua pekerja makmal ini dilatih di dalam dan luar negara. Makmal ini dijangka beroperasi bermula pada September 2024,” katanya.
Untuk rekod, Perak berjaya memperolehi RM21.1 juta dalam tempoh 10 bulan hasil royalti perlombongan NR-REE tahun lalu. Ia dijangka akan terus meningkat apabila mineral tersebut perlu diekstrak di dalam negara sebelum dieksport ke luar.