NGO

PENYUNDALAN BUKAN HAK ASASI

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Melacur itu adalah penzinaan, dan Firman Allah Ta’ala: ”Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Surah Al-Isra’, 17: ayat.32)

2. Setiap negara yang merdeka dan berdaulat memiliki perundangannya yang tersendiri dipanggil “Perlembagaan” selaku undang-undang tertinggi yang sah lagi diterimapakai sebagai peraturan muktamad yang melindungi hak rakyat dan hak negara berkenaan. Perlembagaan itulah sepatutnya mencorakkan bentuk budaya kemasyarakatan sesebuah negara.

3. Apa-apa undang-undang dan peraturan yang lahir kemudiannya sama ada baik atau buruk kemudiannya adalah dilakukan untuk sesuatu tujuan khusus demi kepentingan dan kelangsungan urus tadbir negara berkenaan, yang semestinya pada asas tidak bertentangan dengan falsafah dan isi undang-undang induknya, iaitu perlembagaan negara berkenaan.

4. Walaupun semua negara menganggotai United Nations (UN) sebagai badan induk antarabangsa yang memainkan peranan – kononnya – “untuk mengimbangi kuasa berdasarkan keadilan sejagat negara-negara dunia” selepas Perang Dunia Kedua namun apa-apa deklarasi UN yang diterimapakai malah diratifikasi oleh kebanyakan negara tidak seharusnya bertentangan dengan nilai, norma dan budaya setempat sesuatu negara yang merdeka, demokratik, berdaulat dan memiliki perlembagaannya yang tersendiri.

5. Inilah prinsip utama yang mesti difahami oleh warga asal tempatan atau orang luar iaitu tidak sah melakukan sesuatu tindakan yang bertentangan dengan falsafah dan isi Perlembagaan Malaysia. Jika degil dan terus melanggarnya, maka dia harus dihukum kerana menjadi punca kepada ketidakstabilan negara.

6. Atas dasar itulah beberapa konsep seperti ICERD, liberalisme, sekularisme dan apa-apa hasil berkaitan dengannya seperti amalan LGBT, termasuk pelacuran atau persundalan tetapi kini dijenamakan dengan istilah yang lebih bersifat kemasyarakatan iaitu sebagai “pekerja seks”, atau apa-apa istilah baru yang diwujudkan untuk membawa maksud yang jelas bertentangan dengan falsafah dan isi Perlembagaan Malaysia adalah tidak sah, tidak dibenarkan dan wajib ditolak oleh seluruh warga Malaysia.

7. Apatah lagi oleh kerajaan yang memegang kuasa pemerintahan dan pentadbiran yang sah. Dan ini bermaksud juga semua parti politik atau organisasi atau NGO yang wujud secara sah mengikut undang-undang negara tidak boleh bertindak atau membuat sebarang aktiviti yang bertentangan dengan Perlembagaan Negara. Sebarang percubaan untuk membenarkan atau menghalalkan sesuatu yang bertentangan dengan Perlembagaan.

8. Ini termasuklah percubaan untuk legalise “pekerja seks” atau “aktiviti pelacuran” atau aktiviti LGBT yang jelas bertentangan dengan undang-undang sedia ada, yang diwujudkan selari dengan falsafah dan isi Perlembagaan Negara, tidak boleh dibenarkan sama sekali dan jika sudah wujud secara haram, ia mesti dihentikan segera dan diambil tindakan perundangan yang sewajarnya.

9. Jangan halalkan pelacuran atas apa-apa justifikasi “hak asasi kemanusiaan” mengikut apa-apa convention antarabangsa yang asing bagi kita atau peraturan luar yang tidak selari, malah bertentangan dengan falsafah dan isi Perlembagaan Negara kita. Negara kita tidak memerlukan prinsip budaya Barat dibawa masuk untuk mencorak negara ke arah kestabilan dan keharmonian.

10. Tegasnya, janganlah lacurkan Perlembagaan Negara kita yang dibina dengan keringat, air mata darah perjuangan datuk nenek dan moyang kita atas pasak dan leluhur yang sudah kita warisi sejak zaman berzaman berpaksikan Islam sebagai asas dan dasarnya yang mengikat tiga entiti utama, iaitu Melayu-Islam-Raja sehingga melahirkan sebuah Perlembagaan Persekutuan pada 31 Ogos 1957.

11. Inilah identiti kita. Inilah diri kita iaitu rakyat Malaysia yang sebenarnya. Dan kita masih ingin kekalkan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia mengikut apa yang sudah dimuktamadkan dan dipersetujui itu. Kita tidak mahu budaya melampau yang keterlaluan diterapkan kepada masyarakat kita yang terkenal dengan sikap sopan-santun dan memiliki budi pekerti yang tinggi.

12. Jika tidak masakan selepas merdeka, kita dengan masyarakat majmuk berjaya mengharungi lebih 60 tahun hidup dalam suasana aman dan harmoni dengan pelbagai bangsa dan pelbagai budaya, kecuali ada percubaan-percubaan kecil yang memang mahu menghancurkan kedaulatan negara, dan institusi Raja-Raja Melayu.

Wallahu a’lam
Haji Rashidi bin Haris
Ketua Aktivis MUAFAKAT

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button