Tempatan

Penyu Pantai Pasir Panjang Diancam Kegiatan Haram

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

LUMUT, 05 September 2022 – Projek aktiviti perlombongan pasir dan penebangan hutan di Pantai Pasir Panjang didapati mengancam pendaratan utama penyu di kawasan itu.

Projek perlombongan pasir, cadangan pembinaan kompleks al-Falak balai cerap dan kawasan tetap latihan tentera di sebahagian Taman Eko Rimba Pasir Panjang itu dibimbangi akan menjejaskan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 yang sepatutnya dilindungi.

Sehubungan itu, Persatuan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) dan Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) menggesa Kerajaan Perak untuk mewartakan semula Pantai Pasir Panjang bagi melindungi kawasan itu.

Setiausaha Kuasa, Noor Ismady Ahmad Radzuan menjelaskan, KSAS Tahap 1 merupakan kawasan yang tidak boleh dibangunkan sebarang kegiatan dan penukaran guna tanah kecuali pelancongan eko berimpak rendah, pendidikan dan penyelidikan.

“Walaupun tanah sudah diberi hak milik, namun status tanah yang merupakan KSAS Tahap 1 tetap tidak berubah kerana ia kawasan pendaratan utama penyu.”

“Isu ini pernah diketengahkan oleh media sejak awal tahun, tetapi tiada sebarang perubahan malah kawasan yang diteroka semakin luas melibatkan kira-kira 10 hektar.”

“Dalam tempoh sebulan, kawasan hutan tebal mula gondol. Rakaman dron minggu lalu menunjukkan ada pembukaan kawasan baharu di lot sama berhampiran Sungai Puyu pula.”

Tambahnya, semakin menghairankan bagaimana pasir dan pokok-pokok yang ditebang termasuk yang bernilai tinggi seperti Balau Laut itu dibawa keluar di kawasan terbabit.

“Kita percaya kesemua hasil itu dibawa keluar menerusi laut dan sudah tentu memerlukan penguatkuasaan pihak berkaitan,” tegasnya sambil memberitahu pihaknya telah memaklumkan aktiviti perlombongan itu kepada Majlis Perbandaran Manjung (MPM) untuk tindakan awal.

Bagi Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman, beliau terkejut apabila lebih 80 pokok yang berusia 50 tahun dan ke atas telah ditanda dipercayai untuk ditebang untuk dijadikan kawasan latihan tentera.

“Kita tidak membantah latihan itu dilaksanakan namun yang menjadi kebimbangan adalah sebahagian pokok-pokok di pesisir pantai ini akan ditebang,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: