Antarabangsa

Penyelidik Lakukan Eksvakasi Gunung Ararat Demi Mencari Bahtera Nabi Nuh

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini. 

TURKI, 09 Disember 2022 – Pasukan penyelidik dari dua buah universiti di Turki mula melakukan ekskavasi di Gunung Ararat dengan mengambil beberapa sampel demi mencari Bahtera Nabi Nuh, menurut sebuah agensi berita Turki.

Pasukan penyelidik itu yang ditubuhkan oleh Universiti Ağrı Ibrahim Çeçen (AIÇU) dan Universiti Teknikal Istanbul (ITU) telah mengambil beberapa sampel termasuk tanah dan batu yang ditemui di kawasan gunung tersebut.

Sampel tersebut kemudiannya dihantar ke makmal ITU untuk pemeriksaan.

Memetik kepada laporan agensi tersebut, ekskavasi oleh “Pasukan Penyelidik Gunung Ağrı dan Bahtera Nuh” itu dilakukan berikutan ketika ini, kawasan Gunung Ararat berkenaan sedang diancam hakisan dan bentukan rekahan gergasi.

Naib Rektor AIÇU, Faruk Kaya menyatakan bahawa mereka memulakan penyelidikan tentang Bahtera Nabi Nuh dan berkata,

“Gunung Ararat adalah gunung yang terkenal di dunia berkat daripada ciri geologi dan geomorfologinya, serta menurut kepercayaan, ia adalah lokasi Bahtera Nuh. Universiti kami telah mengusahakan kawasan ini sejak 2003. Tahun ini kami mahu bekerjasama dengan ITU untuk menjalankan kajian yang lebih terperinci,”

Menurut Kaya, kawasan gunung itu mempunyai potensi yang sangat besar untuk pelancongan agama khususnya peminat dari negara Eropah dan Amerika.

“Matlamat kami, sebagai sebuah universiti ialah jika kami dapat mendedahkan perkara ini dan menjadikan tempat ini sebagai pusat pelancongan agama, kami berpendapat bahawa ekonomi Ağrı dan negara kita akan dihidupkan semula secara serius,” ujarnya lagi.

Pasukan penyelidikan berkenaan turut disertai oleh beberapa orang pakar dalam geofizik, kimia dan geo-arkeologi.

Jika ditelusuri, kisah pembinaan bahtera Nabi Nuh dan banjir besar yang melanda kaumnya bukanlah sebuah mitos mahupun cerita dongeng tetapi peristiwa itu diyakini pernah berlaku dalam lipatan sejarah ribuan tahun lalu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: