Penyakit Era Pemerintahan Ratu Victoria Kembali ‘Mengancam’ Britain
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
LONDON, 16 November 2022 – Demam Scarlet yang dahulunya menjadi pandemik sewaktu era pemerintahan Ratu Victoria kini sedang ‘mengancam’ di seluruh Britain apabila kerajaan itu melaporkan peningkatan dalam kes demam tersebut.
Lapor sebuah berita antarabangsa, biarpun penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja, namun ia kebanyakannya memberi kesan kepada kanak-kanak.
Pihak berkuasa kesihatan bagaimanapun telah meminta ibu bapa untuk mengenal pasti sekiranya berlaku simptom supaya rawatan awal dapat diberikan.
Mengulas lanjut, penyebaran wabak itu berkemungkinan disebabkan oleh penarikan semula langkah-langkah sekatan yang sebelum ini dilaksanakan sewaktu pandemik COVID-19.
Menurut kajian yang diterbitkan oleh Universiti Cambridge, “Scarlet Fever Epidemics of the Nineteenth Century: A Case of Evolved Pathogenic Virulence”, wabak demam merah itu pernah menular sekitar tahun 1820 dan 1880 di Eropah dan Amerika Utara.
Berdasarkan data daripada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) United Kingdom, demam ini berpunca daripada jangkitan kuman yang menyebabkan ruam dan bengkak pada kelenjar leher, dada dan perut 12 hingga 48 jam selepas dijangkiti.
Demam ini juga boleh berlarutan sehingga seminggu dan dua hingga ke tiga minggu sekiranya tidak mengambil antibiotik.
Justeru, NHS mengingatkan kepada individu atau ibu bapa untuk mengelakkan dari menghadirkan diri ke taska, sekolah atau tempat kerja selama 24 jam selepas pengambilan dos pertama antibiotik serta mengamalkan amalan kebersihan diri bagi mengelakkan wabak tersebut terus merebak.