Tempatan

Penubuhan Sekolah Vernakular Sah Di Sisi Undang-Undang

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 24 November 2023 – Mahkamah Rayuan semalam memutuskan bahawa penubuhan sekolah vernakular yang menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar adalah sah dan berperlembagaan, menurut laporan berita tempatan.

Perkara itu telah diputuskan oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Supang Lian yang bersidang bersama Hakim M Gunalan dan Hakim Azizul Azmi Adnan di mana mereka sebulat suara menolak rayuan yang difailkan oleh empat badan bukan kerajaan (NGO).

Empat NGO itu ialah Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (MAPPIM), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Hakim Mahkamah Rayuan Azizul Azmin Adnan sewaktu membacakan keputusan menegaskan, para penggubal Perlembagaan Persekutuan sejak awal lagi telah berhasrat bahawa sekolah vernakular sebelum merdeka akan terus beroperasi dengan sah di sisi undang-undang selepas merdeka pada tahun 1957.

Beliau menjelaskan, Perkara 152(1)(b) Perlembagaan Persekutuan mencerminkan Kerajaan Persekutuan diberi kuasa untuk mengekalkan dan melindungi penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular.

Kata beliau, “Jika diterima penggunaan bahasa selain bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah yang wujud sebelum merdeka, maka kerajaan memelihara dan mengekalkan penggunaan tersebut.”

“Tidak boleh dihujahkan bahawa penggubal Perlembagaan berhasrat sekolah yang menggunakan bahasa selain bahasa Melayu adalah menyalahi undang-undang.”

“Jika tidak, sekolah seperti itu akan dimansuhkan dengan penubuhan Perlembagaan Persekutuan (yang menjadi undang-undang tertinggi Malaysia selepas merdeka pada 1957),” jelas beliau bagi pihak Hakim Supang Lian dan rakannya Hakim M Gunalan yang dipetik daripada laporan berita tempatan.

Terdahulu, kumpulan NGO tersebut telah mencabar keabsahan sekolah vernakular dan turut menyatakan bahawa penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: