Tempatan

Agong Batalkan Darurat Di 3 Kawasan Pilihan Raya

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 07 Oktober 2022 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan membatalkan proklamasi darurat di tiga kawasan pilihan raya yang diisytiharkan dua tahun lalu, menurut warta Kerajaan, lapor sebuah portal tempatan.

Tiga kawasan itu adalah Parlimen Batu Sapi dan Gerik serta DUN Bugaya. Pemasyhuran pembatalan proklamasi darurat itu dilaksanakan di Istana Negara, semalam.

Perintah pembatalan itu melibatkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah; serta Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (No. 2) (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.054 Gerik, Perak.

Turut dibatalkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 3) (Pembatalan) 2022) dan Proklamasi Darurat (No. 3) (Pembatalan) 2022 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.66 Bugaya, Sabah.

Proklamasi darurat diisytiharkan bagi kawasan pilihan raya Parlimen Batu Sapi pada 18 November 2020, selepas kerusi itu kosong susulan kematian ahli parlimennya VK Liew (Warisan) pada 2 Oktober 2020.

Proklamasi darurat bagi kawasan pilihan raya Parlimen Gerik dan DUN Bugaya pula dibuat pada 12 Disember 2020.

Kerusi Parlimen Gerik kosong selepas wakilnya Hasbullah Osman (Barisan Nasional) meninggal dunia pada November 2020.

Kerusi DUN Bugaya juga kosong pada November 2020 selepas kematian wakilnya Manis Muka Mohd Darah (Warisan).

Semalam, Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di saat spekulasi hangat Parlimen akan dibubar.

Namun, Istana Negara mengesahkan bahawa  beliau tidak memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Dewan Rakyat ketika majlis menghadap semalam.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: